86,000 ikuti PdPR di Kedah

86,000 ikuti PdPR di Kedah

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 86,030 pelajar membabitkan 206 buah sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang, Kedah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula semalam susulan cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius.

Jumlah itu merangkumi 65,634 pelajar dari 154 sekolah di Kota Setar dan 20,396 pelajar lagi membabitkan 52 sekolah di Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian tahap 2 atau gelombang haba selama tiga hari berturut-turut.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menunjukkan pada tahap dua telah direkodkan tiga hari berturut-turut bermula Khamis lalu di kedua-dua daerah tersebut. 

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pihak pentadbir sekolah juga diberikan kuasa autonomi untuk melaksanakan tindakan sewajarnya ketika berdepan cuaca panas berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk menangguhkan aktiviti luar bilik darjah, membenarkan pemakaian pakaian yang tidak memerangkap haba serta menilai keperluan pembelajaran secara PdPR.

Katanya, aspek keselamatan warga sekolah khususnya pelajar dan guru perlu diberi keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil.

Mohd. Azam berkata, prinsip utama pelaksanaan keputusan ini adalah menggunakan pertimbangan wajar atau common sense dengan meletakkan keselamatan pelajar dan warga sekolah sebagai keutamaan.

Beliau berkata, arahan berkaitan pengurusan cuaca panas telah dimaklumkan secara rasmi melalui surat edaran kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak berkepentingan termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar Malaysia.

“Semua garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan juga telah dipanjangkan kepada pihak sekolah sebagai rujukan dalam membuat keputusan.

“Sekolah boleh berbincang dengan pihak PPD dan JPN bagi menentukan tindakan yang paling sesuai mengikut keadaan semasa di lokasi masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan meminta supaya sekolah menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celcius, selain memantau aktiviti berpotensi mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Kementerian itu turut meminta semua institusi pendidikan di bawahnya meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, ibu bapa mempunyai saluran untuk membuat aduan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap arahan atau garis panduan yang ditetapkan.

“Ibu bapa boleh mengemukakan aduan kepada pihak JPN, PPD atau terus kepada Kementerian Pendidikan sekiranya terdapat ketidakpatuhan arahan. 

“Siasatan akan dijalankan dan teguran boleh dikenakan terhadap pengetua atau guru besar yang didapati tidak mematuhi arahan,” katanya.

Kata beliau, semua pihak diingatkan agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa dan bertindak secara proaktif bagi memastikan kebajikan serta keselamatan warga sekolah terus terpelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN