SYDNEY: Akaun WeChat milik Perdana Menteri Australia, Scott Morrison ‘hilang’ sekali gus mencetuskan dakwaan insiden itu mungkin berlaku akibat campur tangan China.
Sebaliknya, akaun media sosial Morrison digantikan dengan nama ‘Kehidupan Baharu Australia China’.
WeChat adalah platform media sosial dan mesej paling dominan di China, memandangkan aplikasi yang dibangunkan negara Barat seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter disekat di negara itu.
Sehingga kini, tiada maklum balas langsung diutarakan Morrison berhubung perkara itu, namun seorang senator daripada parti pemerintah mendakwa Beijing menjadi dalang di sebalik perubahan berkenaan.
“Tindakan kerajaan China menutup akaun WeChat Perdana Menteri Australia dilihat sebagai campur tangan luar dalam demokrasi negara ini,” kata James Paterson .
Susulan itu, Paterson menggesa ahli politik Australia untuk memboikot WeChat sebagai tindak balas terhadap percaturan China. – AFP