ALMATY: Lebih 160 orang dilaporkan maut dalam tempoh beberapa hari pergolakan yang berlaku di Kazakhstan.
Malah, kira-kira 8,000 individu ditahan selepas rusuhan meletus di negara terbesar di Asia Tengah itu.
Negara yang kaya dengan sumber tenaga dan mempunyai kira-kira 19 juta penduduk itu, menyaksikan ketegangan berterusan selama seminggu dengan sejumlah warga asing ditahan berikutan pergolakan tersebut.
Sebuah portal maklumat yang dikendalikan oleh kerajaan memaklumkan seramai 164 orang terbunuh dalam rusuhan itu.
Jumlah itu termasuk 103 orang di bandar terbesar Almaty yang menyaksikan beberapa pertempuran sengit antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Angka baharu itu yang sehingga kini masih belum disahkan secara bebas, menunjukkan peningkatan drastik dalam jumlah kematian.
Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan seramai 26 ahli kumpulan bersenjata dan 16 anggota keselamatan maut dalam ketegangan tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan itu dikatakan ‘hilang’ daripada saluran Telegram kerajaan.
Kementerian Kesihatan memberitahu media Rusia dan Kazakhstan bahawa maklumat disiarkan secara salah.
Namun, tiada penafian rasmi dibuat mengenai maklumat disiarkan sebelum ini malah angka baharu juga tidak diberikan.
“Situasi kini stabil di semua wilayah walaupun pasukan keselamatan masih meneruskan operasi ‘pembersihan’,” jelas kementerian itu.
Kenaikan harga bahan api mencetuskan pergolakan di wilayah barat negara itu sejak seminggu lalu dan merebak secara pantas ke beberapa bandar besar termasuk hab ekonomi Almaty yang menyaksikan rusuhan meletus dan polis melepaskan tembakan peluru hidup. – AFP










