LUMAJANG: Seorang wanita sarat hamil menceritakan dia terpaksa berlari sejauh berbelas kilometer bagi menyelamatkan diri ketika Gunung Berapi Semeru meletus pada 4 Disember lalu.
Ayuningsih, 23, yang hamil sembilan bulan kini hanya ‘menunggu hari’ untuk bersalin dan bakal ibu itu memaklumkan, dia sesekali tidak akan melupakan bagaimana dia dan suaminya menghadapi saat menakutkan itu.
“Suami memapah saya untuk berlari selamatkan diri kerana hamburan debu panas Semeru sangat dahsyat dan kami lihat sendiri bagaimana banyak rumah terbakar sebaik sahaja terkena debu panas itu.
“Tipu jika saya tidak berasa sakit pada bahagian perut dan kaki, namun kami hanya mahu menyelamatkan diri ketika itu.
“Kami berlari sejauh belasan kilometer sehingga ke tampat yang lebih selamat,” katanya kepada Tribunnews.
Dalam pada itu, Ayuningsih bersyukur kerana bayi dalam kandungannya selamat dan tidak sabar untuk melihat cahaya mata sulungnya.
Wanita muda itu juga sudah mendapatkan rawatan perubatan susulan kejadian tersebut.
Namun, Ayuningsih tetap menzahirkan kebimbangan apabila harta bendanya musnah akibat letusan gunung berapi tersebut, menyebabkan dia tidak mempunyai simpanan untuk digunakan ketika bersalin nanti.
Sehubungan itu, dia merayu supaya ada pihak yang sudi membantunya untuk membiayai yuran bersalin.
“Kami lari dalam keadaan sehelai sepinggang, tiada apa yang mampu diselamatkan kerana semuanya berlaku begitu cepat.
“Jika ada sudi yang bantu, kamu dahulukan ucapan ribuan terima kasih,” ujarnya.