RON97 terjual lebih 1,000 liter sehari di Bukit Kayu Hitam

RON97 terjual lebih 1,000 liter sehari di Bukit Kayu Hitam

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jualan petrol RON97 di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dilaporkan meningkat ketara susulan kekangan bekalan bahan api yang sedang melanda negara jiran.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, stesen minyak di sekitar Bukit Kayu Hitam menjadi tumpuan pengguna dari negara itu untuk mengisi RON97 yang dibenarkan untuk kenderaan asing.

Selain petrol, jualan diesel yang dihadkan 20 liter setiap isian kepada kenderaan asing turut meningkat disebabkan rakyat Thailand sukar mengisi minyak kenderaan di negara mereka buat masa ini.

Seorang pengusaha, Muhamad Hakimi Ismail berkata, jualan RON97 di stesen minyak miliknya yang berjarak dua kilometer (KM) dari sempadan merekodkan peningkatan dua kali ganda sejak kebelakangan ini.

“Biasanya setiap hari kami dapat jual kira-kira 400 liter RON97 sahaja sama ada untuk kenderaan tempatan atau asing tapi sejak beberapa hari ini jualan meningkat kepada lebih 1,000 liter sehari ketika ini.

“Selain itu, jumlah kenderaan asing khususnya Thailand yang datang mengisi minyak juga bertambah, namun situasi masih terkawal,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, peningkatan kenderaan negara itu mengisi minyak turut dilaporkan berlaku di stesen minyak tanpa subsidi yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini.

Harga semasa di stesen berkenaan adalah RM4.60 seliter untuk petrol RON95 dan RM5.50 seliter untuk diesel berbanding RM3.27 (RON95) dan RM4.72 (diesel) untuk stesen minyak biasa.

Seorang pengguna dari negara jiran yang enggan dikenali berkata, dia sering berulang-alik antara Malaysia dan Thailand atas urusan perniagaan selain memiliki keluarga di negara ini.

“Kebiasaan memang saya isi minyak kereta di sini sebelum ini, dan saya dapati sejak bekalan minyak di Thailand dicatu ramai juga rakan-rakan dari negara saya isi minyak di sini khususnya yang menaiki kenderaan diesel.

“Sebab di stesen minyak lain dalam Malaysia ada had pembelian diesel iaitu 20 liter bagi radius 50KM dan harga jualannya turut berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN