BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha memaklumkan kerajaan tidak akan melaksanakan perintah berkurung walaupun kes pertama varian Omicron dilaporkan di negara itu.
Lapor Bangkok Post, beliau yakin pelaksanaan ujian imbasan tahap kesihatan mampu mencegah jangkitan dan penularan varian baharu daripada tersebar di Thailand.
“Harapan saya sambutan tahun baharu akan datang bakal menjadi detik yang menggembirakan. Kita sudah tidak melaksanakan festival selama dua tahun akibat virus Covid-19.
“Sekarang ini, semuanya bergantung terhadap tahap keberkesanan langkah pencegahan Covid-19. Sekiranya berlaku jangkitan baharu virus tersebut, tiada siapa yang mahu perintah berkurung semula,” katanya.
Beliau memberikan maklum balas terhadap kebimbangan pemilik perniagaan yang khuatir sekiranya langkah tersebut dilaksanakan kerajaan.
Menurut Prayut, pelaksanaan ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 oleh pihak kesihatan terhadap pelancong antarabangsa adalah mencukupi bagi mengesan kemunculan varian Omicron di semua pintu masuk negara.
Jabatan Kawalan Kesihatan memaklumkan seramai 17 individu disahkan sebagai kontak rapat dengan kes pertama varian Omicron di negara itu.
Isnin lalu, pihak berkuasa mengesahkan varian itu dikesan terhadap seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat yang tiba di Thailand dari Sepanyol melalui Dubai.