Pulau Pinang: Program Jualan Rahmah diselaras semula selepas Aidilfitri

Pulau Pinang: Program Jualan Rahmah diselaras semula selepas Aidilfitri

GOH Choon Aik (kiri) ketika menghadiri program Jelajah Pantau Sempena Hari Raya Aidilfitri di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang akan menyelaras semula program Jualan Rahmah yang diadakan di negeri ini selepas Aidilfitri nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik berkata, sebagai contoh, program tersebut perlu dilaksanakan berhampiran kawasan penempatan serta jauh daripada kemudahan pasar raya besar.

“KIta setuju untuk teruskan program itu tapi perlu pilih lokasi yang sesuai. Selain itu, ia juga tidak boleh diadakan di tempat yang sama banyak kali,” katanya selepas menghadiri program Jelajah Pantau Sempena Hari Raya Aidilfitri di Mydin Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Choon Aik berkata, sepanjang Ramadan ini sahaja, sebanyak 206 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 152 program dilaksanakan secara bergerak, 52 secara terbuka serta masing-masing satu di pasar dan kampus.

Sementara itu, Choon Aik berkata, bekalan barangan keperluan sempena Aidilfitri di Pulau Pinang ketika ini mencukupi manakala harga yang diletakkan juga kekal di bawah paras kawalan setakat ini.

“Saya berterima kasih kepada KPDN negeri kerana telah melaksanakan perancangan awal termasuk mengadakan rundingan bersama pembekal serta pengimport bagi memastikan rantaian bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN