SINGAPURA: Sebuah muzium yang merakam 200 tahun sejarah masyarakat Yahudi, yang menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura, dilancarkan Menteri Dalam Negeri, K. Shanmugam.
Berita Mediacorp melaporkan, Muzium ‘Jews of Singapore’, yang terletak di Sinagog Maghain Aboth di kawasan Bras Basah, adalah yang pertama seumpamanya di sini dan menjadi sumber untuk pelbagai agama di Singapura mengenali lebih mendalam tentang masyarakat dan agama Yahudi.
Antara lain, pameran Jews of Singapore itu membawa para pengunjung menyusuri rentetan peristiwa ketibaan masyarakat Yahudi, kebanyakannya dari Baghdad, Iraq, ke Singapura seawal 1820-an.
Pengunjung juga boleh mengenali dengan lebih dekat perayaan, kebudayaan serta agama kaum minoriti Yahudi Singapura yang mungkin kurang diketahui masyarakat umum.
Di Singapura, banyak sumbangan dari tokoh-tokoh Yahudi kepada negara. Misalnya, suatu ketika dahulu Ketua Menteri Singapura antara 1955 hingga 1956 adalah orang Yahudi, iaitu David Marshall.
Banyak nama jalan seperti Elias Road, Frankel Avenue dan Meyer Road juga sebenarnya dinamakan berdasarkan tokoh-tokoh Yahudi tempatan. Begitu juga dengan Jacob Ballas Children’s Garden dan Ellison Building.
Muzium turut menampilkan sebilangan barangan peribadi milik tokoh-tokoh Yahudi yang terkenal di Singapura.
Ia turut menempatkan The Jacob Ballas Memorial Room sebagai memperingati legasi tokoh Yahudi terkenal di Singapura Jacob Ballas yang juga pengerusi pertama bagi bursa saham di Singapura dan Malaysia.
Antara fakta menarik – tokoh Yahudi terkenal, Albert Einstein pernah berada di Singapura seminggu sebelum beliau menang Anugerah Nobel bagi Fizik sekitar 100 tahun lalu.
Pameran tetap yang terletak di Jacob Ballas Centre dibuka secara percuma kepada semua.