Semeru masih meletus, jumlah korban terus meningkat - Utusan Malaysia

Semeru masih meletus, jumlah korban terus meningkat

SEMERU meletus tiga kali hari ini dan menghamburkan debu panas ke udara setinggi satu kilometer. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMAJANG: Jumlah korban letusan Gunung Semeru meningkat kepada 34 orang semalam, selepas pasukan keselamatan menemukan lebih banyak mayat mangsa di bawah timbunan debu gunung berapi itu.

Pasukan keselamatan berdepan kesukaran untuk melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) berikutan debu gunung berapi yang tebal, selain perlu berhati-hati berikutan ancaman Semeru boleh meletus sekali lagi pada bila-bila masa.

Bencana alam itu menyaksikan banyak kediaman dan kenderaan penduduk musnah terbakar, selain penduduk trauma untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Sehingga kini, saya tidak berani untuk pulang ke rumah di Curah Kobokan, malah keluarga saya lebih rela tidur di bawah pokok berbanding balik ke rumah,” kata Marzuki Suganda.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, sehingga kini, jumlah korban mencecah 34 orang dan 17 lagi hilang dengan hampir 3,700 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan terjejas.

“Sejak meletus pada Sabtu lalu, Semeru kekal aktif sehingga semalam, menyaksikan tiga letusan kecil berlaku. Ketiga-tiga letusan itu menghamburkan debu panas setinggi satu kilometer ke udara,” katanya.

Jelas Abdul Muhari, ‘letusan tambahan’ itu menyebabkan operasi SAR menjadi semakin sukar.

Dalam pada itu, jurucakap polis, Imam Mukson Rido berkata, mereka tidak dapat pastikan sekiranya permukaan tanah di kawasan terjejas selamat untuk dilalui.

Hal ini kerana, banyak kawasan menyaksikan permukaan tanahnya sejuk, namun setelah dilalui kenderaan, bahagian dalamnya didapati panas akibat debu dan lahar gunung berapi.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengunjungi kawasan terjejas dan memberi jaminan kerajaan akan menghulurkan bantuan segera.

Tegas Jokowi, kerajaan mempertimbangkan untuk memindahkan penduduk terjejas ke lokasi lain memandangkan kawasan itu tidak lagi selamat untuk dihuni.

“Berdasarkan laporan awal, kira-kira 2,000 kediaman musnah dan sehubungan itu, semua keluarga yang terlibat perlu dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya