NEW DELHI: Polis di India berjaya mengagalkan komplot seorang lelaki yang cuba memalsukan kematiannya untuk mengelak daripada kembali semula ke penjara.
Lapor BBC, pegawai polis di Uttar Pradesh berkata, Sudesh Kumar, 36, membunuh seorang lelaki dan cuba memperdayakan pihak berkuasa kononnya mayat itu merupakan dirinya dengan bantuan isterinya, Anupama.
Namun, polis menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Sudesh membawa mayat itu dengan menaiki motosikal.
Sudesh merupakan seorang banduan yang dibebaskan dengan parol akibat pandemik Covid-19.
Sudesh dipenjarakan atas kesalahan membunuh anak perempuannya berusia 13 tahun pada 2008.
Beberapa negeri di India membebaskan banduan dengan parol dalam usaha mengelakkan kesesakan di penjara sekaligus dijangkiti Covid-19.
Sudesh mendakwa pihak berkuasa mahu menamatkan tempoh parolnya, jadi, dia merancang plot bersama isterinya untuk mengelak daripada memasuki semula ke penjara.
Sementara itu, polis berkata, Sudesh ketika ditahan mengaku membunuh Domen Ravidas pada 19 November lalu.
Domen merupakan kontraktor yang memiliki ketinggian dan berat badan yang agak sama dengan Sudesh.
Sudesh mengupah Domen untuk melakukan kerja-kerja baik pulih di rumahnya sebelum bertindak membunuhnya.
Keesokan hari, mayat Domen ditemukan dalam keadaan terbakar sehingga wajahnya tidak dapat dikenalpasti.
Bagaimanapun, polis menjumpai kad pengenalan di dalam poket seluar mangsa yang menunjukkan identiti lelaki itu adalah Sudesh Kumar.
Anupama kemudian mengenal pasti mayat itu sebagai suaminya di rumah mereka di New Delhi.
Bagaimanapun, polis mengesyaki sesuatu dengan kenyataan Anupama yang mungkin mempunyai unsur jenayah.
Polis juga menerima maklumat Sudesh mahu melawat isterinya dan melakukan serbuan di rumah pasangan itu lalu berjaya menahannya.
Anupama juga ditahan polis kerana terlibat dalam plot tersebut. – AGENSI










