NGO hak asasi kutuk Suu Kyi dipenjarakan - Utusan Malaysia

NGO hak asasi kutuk Suu Kyi dipenjarakan

PENUNJUK perasaan memegang poster Suu Kyi semasa demonstrasi membantah rampasan kuasa di Yangon, Myanmar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Amnesty International mengutuk sekeras-kerasnya hukuman penjara oleh sebuah mahkamah Myanmar ke atas pemimpin Aung San Suu Kyi.

Timbalan Pengarah Serantau Amnesty, Ming Yu Hah menyifatkan hukuman keras dijatuhkan terhadap Suu Kyi bersandarkan tuduhan tidak berasas.

Malah, beliau menegaskan tindakan itu dilihat sebagai contoh terbaharu kesungguhan junta tentera untuk menghapuskan semua individu menentang dan menyekat kebebasan di Myanmar.

“Keputusan mahkamah itu merupakan sebahagian corak hukuman teruk yang menyaksikan lebih 1,300 orang terbunuh dan ribuan lagi ditahan sejak rampasan kuasa tentera Februari lalu,” katanya.

Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menghasut perbezaan pendapat terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata, Syu Kyi dihukum penjara dua tahun di bawah Seksyen 505(b) dan dua tahun lagi di bawah undang-undang bencana alam.

Katanya, bekas Presiden, Win Myint juga dikenakan hukuman penjara selama empat tahun bagi pertuduhan sama, namun memaklumkan mereka belum dibawa ke penjara.

Sementara itu, Penasihat Kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa Myanmar, Richard Horsey berkata, hukuman tersebut jelas mencerminkan kekejaman, dendam dan kekuasaan ditunjukkan oleh junta tentera.

“Ia bakal mengejutkan sekiranya Suu Kyi dihantar ke penjara. Kemungkinan besar beliau akan menjalani hukuman ini dan hukuman lain di kediamannya atau ‘rumah tetamu’ rejim,” katanya.

Politik Myanmar semakin bergolak selepas junta tentera melakukan rampasan kuasa 1 Februari lalu, menyaksikan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi yang mentadbir kerajaan disingkirkan.

Hampir setiap hari penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di sekitar jalanan menuntut pengembalian semula demokrasi dan menentang tindakan kekerasan pasukan keselamatan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya