Tak serik dipenjara kerana ambil gambar bawah skirt, bekas banduan ditahan lakukan kesalahan sama - Utusan Malaysia

Tak serik dipenjara kerana ambil gambar bawah skirt, bekas banduan ditahan lakukan kesalahan sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang pesalah berulang yang sudah beberapa kali diberkas mengambil gambar bawah skirt sepanjang lima tahun lalu, dihukum penjara lagi selepas mengulangi kesalahan itu sebaik sahaja dibebaskan dari penjara.

Berita Mediacorp melaporkan, cara dia melakukan jenayah itu tidak berubah dengan menggunakan kamera yang disembunyikan dalam kasutnya.

Tham Heng Yew, 29, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, semalam selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan mengintai dengan tuduhan kedua diambil kira.

Heng Yew dihukum penjara 44 minggu pada Mac 2020 atas 30 tuduhan, sebahagian besarnya kerana mencabuli kehormatan wanita dengan 138 tuduhan lagi diambil kira.

Dia memotong lubang di dalam kasut untuk menyelitkan telefonnya dengan kamera menghadap ke atas.

Heng Yew kemudian merakam video bawah skirt wanita sedang dia berjalan-jalan di pusat beli-belah dan di sekolahnya.

Tidak lama selepas dibebaskan, dia melakukan kesalahan lagi.

Pada 21 Januari tahun ini, dia pergi ke cawangan Daiso di Plaza Singapura. Seorang wanita yang sedang berbelanja di situ mendapati Heng Yew mengekori dan berada dekat dengannya.

Beliau mendapati kaki Heng Yew rapat dengan kakinya dan terdapat lubang di bahagian atas kasutnya itu. Mangsa juga ternampak lensa kamera dalam lubang itu.

Wanita itu menunggu hingga tertuduh meninggalkan cawangan itu sebelum memanggil teman lelakinya untuk memberitahu tentang apa yang berlaku. Mereka memaklumkan kepada kakitangan Daiso yang membuat panggilan kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah itu.

Heng Yew cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan teman lelaki wanita itu. Pengawal keselamatan kemudian menahannya hingga polis tiba dan merampas telefonnya.

Siasatan menunjukkan Heng Yew pergi pusat ke beli-belah itu untuk merakam video bawah skirt.

Antara pukul 6 petang dengan 7.45 malam pada hari itu, dia merakam lima video bawah skirt keseluruhannya.

Dalam membuat rayuan, Heng Yew berkata dia amat menyesali perbuatannya itu dan ketika melakukan kesalahan tersebut dia dalam keadaan ‘amat buntu’ dan ‘sedih’.

Menurutnya dia gagal mendapatkan kerja selepas keluar dari jel dan merasa ‘amat murung’.

Bagi kesalahan mengintai, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya