Ratusan rakyat Jordan bantah perjanjian air-tenaga elektrik dengan Israel - Utusan Malaysia

Ratusan rakyat Jordan bantah perjanjian air-tenaga elektrik dengan Israel

PENUNJUK perasaan berkumpul di sekitar ibu negara Jordan bagi menyertai protes membantah perjanjian air-tenaga elektrik dengan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Ratusan rakyat Jordan dilaporkan berkumpul di sekitar Amman bagi menyuarakan bantahan terhadap perjanjian air-tenaga elektrik yang dimeterai negara itu dengan Israel.

Rakyat Jordan seboleh-bolehnya tidak mahu negaranya menormalisasi hubungan dengan rejim zionis.

Lapor Al Jazeera, para penunjuk perasaan membantah dengan menegaskan perjanjian itu bergerak ke arah normalisasi hubungan dengan Israel ketika rejim itu masih terus menjajah wilayah Palestin.    

Malah, beberapa pihak turut memberi amaran bahawa perjanjian tersebut akan memaksa Jordan bergantung sepenuhnya terhadap Israel. 

“Kami mempunyai hak untuk hidup. Penduduk Palestin juga memiliki hak demikian.

“Kami rakyat Jordan menyokong Palestin dan mengambil berat mengenai masa depan negara ini. Sebab itu kami menyertai protes ini,” kata seorang penunjuk perasaan kepada Al Jazeera.

Sekiranya perjanjian itu dilaksanakan, maka ia akan menjadi salah satu projek kerjasama paling besar sejak negara berkenaan menandatangani perjanjian damai 27 tahun lalu.

Di bawah perjanjian itu, Jordan akan menerima sebanyak 200 juta meter padu penyahgaraman air dari Israel, sebagai pertukaran bagi 600 megawatt tenaga elektrik dijana dari loji tenaga solar yang dibiayai oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di negara itu.     

Dilaporkan, satu dokumen berhubung projek itu ditandatangani antara menteri air Jordan, menteri tenaga Israel dan menteri perubahan iklim UAE sambil disaksikan oleh Utusan Khas Iklim AS, John Kerry pada Isnin lalu.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen di Jordan, Saleh al-Armouti mengecam perjanjian itu dengan menegaskan beliau tidak mempercayai Israel.

“Sekiranya Israel menandatangani perjanjian, biasanya mereka tidak melakukan apa yang dijanjikan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya