NEW DELHI: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mengugut untuk merogol anak perempuan kepada pelakon Bollywood, Anushka Sharma dan pemain kriket, Virat Kohli.
Anak kepada pasangan selebriti terkenal di India itu dilaporkan berusia 10 bulan.
Lapor BBC, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Hyderabad pada Rabu.
Berdasarkan laporan media tempatan, lelaki yang ditahan itu merupakan seorang jurutera yang menetap di Hyderabad.
“Selepas beberapa tangkap layar mengenai ugutan rogol itu menjadi tular di laman media sosial, lelaki tersebut menukar namanya di Twitter dan menyamar sebagai warga Pakistan.
“Bagaimanapun, sebuah laman sesawang berjaya mengesan identiti sebenar lelaki terbabit sehingga membawa kepada penahanan,” jelas laporan berkenaan.
Virat yang juga kapten pasukan kriket India bersama pasukannya, dikecam teruk dalam laman media sosial selepas kalah dalam perlawanan Piala Dunia T20 baru-baru ini.
Kritikan itu bermula selepas India tewas kepada pasukan kriket Pakistan dalam perlawanan Piala Dunia T20.
Seorang pemain pasukan kriket India, Mohammed Shammi juga dikecam berhubung agamanya dalam media sosial.
Virat diserang oleh warganet selepas bersuara menentang kritikan yang dilemparkan terhadap Mohammed Shammi.
Komen Virat menimbulkan kekecohan sehingga ramai peminatnya menghantar mesej berbaur kecaman kepada pemain kriket itu dan isterinya.
Sebelum ini, Anushka juga pernah dikritik apabila beberapa peminat menyalahkannya atas prestasi buruk pasukan kriket India dalam siri perlawanan yang diadakan.
Sementara itu, polis berkata, penahanan lelaki itu merupakan sebahagian daripada siasatan berterusan dijalankan ke atas beberapa pengguna akaun Twitter yang didakwa membuat kenyataan menghina terhadap Virat dan Anushka. – AGENSI