YANGON: Walaupun junta tentera Myanmar mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 1 November lalu, namun, hampir kesemua kelas lengang tanpa kehadiran murid dan guru.
Lapor Al Jazeera, sebuah sekolah yang kebiasaannya mempunyai 600 pelajar hanya dihadiri oleh 20 orang sejak beberapa minggu lalu.
Golongan pelajar difahamkan enggan pergi ke sekolah bukan disebabkan risau dengan jangkitan Covid-19, namun, bimbang nyawa mereka akan melayang sekiranya menjadi sasaran pihak tentera.
Mei lalu, lebih 100 sekolah menjadi sasaran junta tentera dan angka itu terus meningkat ke bulan berikutnya.
Tidak cukup dengan itu, dua guru dari sekolah menengah berbeza di Mandalay yang enggan bekerja di bawah tentera dipukul dan ditangkap kerana menyatakan sokongan terhadap gerakan protes anti rampasan kuasa.
Pada 12 November lalu, sekolah latihan komputer yang mendapat sumbangan daripada pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dibakar oleh pihak tentera.
Situasi tidak menentu itu membimbangkan seorang pelajar sekolah menengah dari Pyay, di bandar Bago, Chika Ko, 16.
Katanya, dia dan kawan-kawanya yang lain enggan pergi ke sekolah kerana berlaku letupan di kawasan itu, baru-baru ini.
“Sekolah saya belum diserang lagi, tetapi apabila saya terdengar bunyi letupan di sekolah lain membuatkan saya menjadi takut dan mengambil keputusan tinggal di rumah,” luahnya.
Bagi Nay Zin Oo, 48, dari Yangon yang mempunyai seorang anak di sekolah rendah dan dua di sekolah menengah memaklumkan, dia tidak mahu membenarkan anaknya ke sekolah kerana junta tentera masih mengawal negara ini.
“Sekolah beroperasi semula di bawah kendalian junta tentera dan sebagai penyokong revolusi, saya enggan menghantar anak saya ke sekolah.
“Sekiranya kita sebagai ibu bapa menghantar anak ke sekolah, bermakna kita bersetuju dan menyokong junta tentera. Saya hanya akan menghantar mereka sekiranya parti berbeza memerintah,” tegasnya.
Zin Oo yakin dan percaya tindakan memboikot sekolah adalah langkah paling berkuasa melancarkan protes berterusan terhadap junta tentera.
Bekas graduan dalam bidang kejuruteraan dan fizik itu mahu kerajaan demokrasi yang dipilih semasa pilihan raya November tahun lalu, memerintah semula Myanmar.
Lelaki itu yang kini bekerja sebagai pemandu teksi juga menolak sistem pendidikan yang dianggap sudah ketinggalan.
“Saya tidak nampak keperluan hantar anak ke sekolah sebab selepas mereka tamat belajar, kelulusan itu hanya berguna di negara sendiri sahaja,” katanya.
GURU TURUT PROTES
Semua sekolah di Myanmar ditutup bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 sejak Julai lalu.
Pada 1 Jun lalu, junta tentera pernah mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan, namun, kehadiran sangat merosot disebabkan kebanyakan pelajar menyertai protes menentang kerajaan kudeta.
Pelajar dan guru adalah golongan yang pertama memimpin Gerakan Ketidakpatuhan Awam (CDM) yang memboikot kelas dan enggan menyertai usaha junta mereformasikan semula sistem pendidikan.
Lebih separuh daripada 400,000 guru dilaporkan menyertai protes tersebut pada Jun lalu.
Ahli Eksekutif Kesatuan Pendidikan Asas, Min Htet berkata, junta tentera memberi tekanan kepada pihak guru supaya hadir ke sekolah dalam usaha menghapuskan CDM.
Katanya, sejak itu ramai guru yang nekad berhenti kerja, sementara yang lain tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa akur hadir ke sekolah.