KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bertindak balas dan berdepan cabaran global terhadap dua tonggak utama iaitu keselamatan ekonomi dan ketahanannya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dua tonggak itu penting bagi memastikan rantau ini kekal stabil, berdaya tahan dan mampu mempertahankan autonomi strategik di tengah ketidaktentuan global.
Katanya, keselamatan ekonomi bukan bererti proteksionisme, sebaliknya memastikan ASEAN kekal terbuka tetapi selamat dengan melindungi kestabilan rantaian bekalan, menjamin akses kepada barangan dan teknologi kritikal serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tunggal.
“Fokus kita haruslah kepada perlindungan kestabilan rantaian bekalan serantau dan global, menjamin akses kepada barangan, tenaga dan teknologi kritikal serta mengurangkan kebergantungan terhadap mana-mana pasaran atau sumber pengeluaran tunggal.
“Ini juga meliputi pengukuhan keselamatan makanan, tenaga dan digital, di samping membina keupayaan institusi untuk menjangka dan mengurangkan risiko sebelum ia berkembang menjadi krisis,” katanya pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Ekonomi dan Luar Negeri ASEAN (AEM–AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Beliau mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Luar yang juga Pengerusi AMM, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, ketahanan ekonomi memerlukan kepelbagaian pasaran dan rangkaian bekalan, memperdalam perdagangan dan pelaburan intra ASEAN serta meningkatkan kerjasama dengan rakan sehaluan bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang stabil dan boleh dijangka.
“Dua tonggak ini akan menjadi asas kepada keupayaan ASEAN untuk terus menjadi hab yang diyakini dan berdaya saing di tengah cabaran global,” katanya. – UTUSAN










