PUTRAJAYA: Malaysia dan Afrika Selatan bersetuju memperkukuh dan memperluas dagangan antara satu sama lain selain meneroka pasaran baharu menerusi BRICS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Afrika Selatan mempunyai kedudukan istimewa dan pengaruh besar, terutama dalam bidang pertahanan, pertanian dan industri berasaskan sumber.
“Kami berbesar hati untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor seperti minyak sawit, semikonduktor, halal, pertanian moden, pendidikan, penyelidikan universiti dan sains.
“Kedua-dua pihak akan meneliti dan menyelaras langkah-langkah susulan agar hasilnya dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa di Kompleks Seri Perdana, di sini semalam.
Katanya, Malaysia kini mengambil pendekatan lebih terbuka dan aktif terutama dalam memperkukuh perdagangan intra-ASEAN serta memberi tumpuan kepada pasaran Asia.
Pada masa sama, Anwar berkata, melalui platform BRICS, Malaysia komited memperkembangkan hubungan perdagangan.
“Dalam konteks ini, Afrika Selatan mempunyai kedudukan istimewa dan pengaruh yang besar, dengan kekuatan ekonominya yang menonjol dalam sektor pertahanan, pertanian dan industri berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Ramaphosa berkata, beliau mengakui wujud keperluan untuk memperluas peluang perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Afrika Selatan terutama dalam suasana ketegangan geopolitik dan cabaran global ketika ini.
Menurutnya, beliau melihat perdagangan kini sering digunakan sebagai senjata politik dan ekonomi.
“Kami percaya, seperti juga pandangan Malaysia, kami juga perlu memperluas asas pasaran kita. Walaupun hubungan kita sebelum ini sangat rapat, namun ia sedikit merosot dari masa ke masa.
“Maka, sudah tiba masanya untuk menyusun semula dan mengukuhkan semula hubungan ini agar ia menjadi semakin kuat dan bermakna,” katanya.
Katanya, Afrika Selatan bertekad untuk memperkukuh kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama.
Jelasnya, beliau juga menyifatkan sangat wajar untuk menghidupkan semula hubungan rakyat dengan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan seperti pertukaran pelajar, penyelidikan bersama antara universiti, serta memperluas kerjasama di peringkat budaya dan sukan. – UTUSAN










