'Joe Ferrari', 6 anggota polis berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

‘Joe Ferrari’, 6 anggota polis berdepan hukuman mati

JOE FERRARI dikawal ketat pasukan keselamatan selepas meninggalkan Bahagian Pencegahan Jenayah di Bangkok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas ketua polis di Balai Nakhon Sawan, Thitisan Utthanaphon, atau nama gelarannya ‘Joe Ferrari’ serta enam anggota polis lain berdepan hukuman mati selepas menyeksa seorang lelaki sehingga mati berhubung kesalahan berkaitan dadah.

Kesemua tertuduh akan berdepan empat pertuduhan akibat melakukan penyeksaan yang menyebabkan kematian, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan paksaan terhadap mangsa.

Biro Penyiasatan Persekutuan membuat pengumuman mengenai perkara itu dan pejabat Peguam Negara akan melakukan pendakwaan terhadap kesemua tertuduh di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Rasuah dan Salah Laku, minggu depan.

Thitisan bagaimanapun menafikan kesemua pertuduhan itu dan mahu dibicarakan di mahkamah.

Kesemua tujuh anggota polis itu digantung tugas tetapi pangkat mereka masih dikekalkan dalam pasukan polis sementara menunggu keputusan perbicaraan.

Suspek ditahan di Penjara Klong Prem, Bangkok, sepanjang siasatan dilakukan.

Ogos lalu, Thitisan dan enam anggota polis di balai itu dituduh menyeksa mangsa menggunakan lima beg plastik untuk melemaskan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Tindakan itu didakwa dilakukan untuk memaksa mangsa menggandakan bayaran ikat jamin sehingga 44,000 pound (RM254,082).

Mangsa yang dikenali sebagai Jirapong Thanapat, 24, ditahan bersama teman wanitanya selepas mereka didakwa menjual dadah jenis methamphetamine di Nakhon Sawan di timur laut Thailand, 5 Ogos lalu.

Rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan dia diseksa oleh beberapa anggota polis di balai itu menjadi tular dalam media sosial.

Rakaman itu dipercayai didedahkan oleh seorang anggota polis junior.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN