PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan di negara ini kekal stabil serta mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seandainya peperangan yang berlaku di Asia Barat berlarutan, kerajaan telah mengambil beberapa langkah mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri berhubung bekalan ubat-ubatan.
Menurutnya, data bekalan ubat-ubatan penting seperti ubat asas, insulin dan vaksin turut dikongsi secara bersepadu antara kerajaan dan industri bagi mengelakkan sebarang kekurangan.
“InsyaAllah tidak ada yang akan ketandusan atau kekurangan bekalan ubat-ubatan penting. Perkongsian data itu adalah sangat mustahak untuk kita lakukan dan semua bertanggungjawab untuk melakukan perkara ini dengan penuh tanggungjawab.
“Ini adalah tanggungjawab nasional dan tidak ada sesiapa yang seharusnya menyimpan stok (ubat-ubatan) untuk mereka sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan ubat bukan sahaja bergantung kepada stok simpanan kerajaan, malah turut disokong oleh fasiliti kesihatan dan industri farmaseutikal.
“Kita bukan hanya bergantung kepada stokpiling kerajaan, tetapi juga stok di fasiliti kesihatan dan industri. Kita tidak mahu ambil mudah atau mencetuskan panik, tetapi pada waktu yang sama kita ambil langkah seterusnya bagi menangani bekalan ini,” katanya. – UTUSAN










