TAIPEI: Delegasi rasmi pertama Parlimen Eropah ke Taiwan memberi jaminan negara ini tidak keseorangan dan menggesa tindakan proaktif bagi mengukuhkan hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan.
Taiwan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan negara Eropah menyambut baik gesaan tersebut dan bersedia untuk melakukannya pada bila-bila masa.
Kunjungan itu dibuat ketika China mengukuhkan kekuatan pasukan tenteranya, termasuk berulang kali melakukan penerbangan jet perang berhampiran Taiwan.
Anggota Parlimen Eropah, Raphael Glucksmann dari Perancis memberitahu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, EU sentiasa menyokong negara ini.
“Kami datang ke sini dengan mesej yang amat jelas iaitu, Taiwan tidak keseorangan, EU berdiri bersama anda.
“Kunjungan kami boleh dianggap sebagai langkah pertama yang penting untuk mengukuhkan hubungan Eropah dengan Taiwan,” katanya.
Kunjungan selama tiga hari itu juga menyaksikan kedua-dua pihak bakal saling bertukar pandangan serta pengalaman mengenai ancaman berita palsu dan serangan siber.
Sementara itu, Ing-wen menzahirkan harapan agar hubungan Taiwan dengan EU terus terjalin dan tidak terhenti di tengah jalan.
“Kami percaya Taiwan dan EU boleh menjalin hubungan dalam pelbagai sektor,” ujarnya. – REUTERS