PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai jam tangan mewah di Bukit Jalil ditahan selepas dipercayai melarikan 12 koleksi bernilai RM2.6 juta sebelum berjaya diberkas polis dalam tempoh 24 jam.
Dalam kejadian 31 Mac lalu pada kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, suspek lelaki berusia 24 tahun dipercayai mengambil jam tangan pelbagai jenama terkenal termasuk Patek Philippe, Rolex dan Richard Mille sebelum melarikan diri dari premis berkenaan.
Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar selepas seorang rakan sekerja menyedari semua jam di ruang pameran hilang sejurus suspek berada di kawasan penyimpanan sebelum kejadian.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mengesahkan suspek memasukkan jam-jam berkenaan ke dalam beg galas sebelum beredar dari premis,” katanya.
Menurutnya, pekerja terbabit kemudian memaklumkan kepada pengurus kedai itu sebelum majikannya menghubungi suspek bertanya berkaitan kehilangan jam itu namun tidak mendapat maklum balas.
“Bagaimanapun, beberapa jam berjaya diperoleh semula selepas seorang lelaki yang juga rakan suspek tampil memulangkan beg mengandungi tujuh jam mewah tanpa mengetahui kandungannya.
“Susulan itu, polis berjaya menahan suspek di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Damansara pada 1 April lalu dan merampas beberapa barangan termasuk resit pajak gadai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan oleh pekerja,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan suspek telah didakwa di mahkamah serta dijatuhi hukuman penjara setahun dan sebatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan oleh pekerja. – UTUSAN










