BEIJING: China menjadi antara negara yang masih mahu meneruskan strategi sifar Covid-19 sedangkan kebanyakan negara terutamanya di rantau Asia Pasifik mula menerima jangkitan virus itu sebagai endemik.
Walaupun lebih 75 peratus penduduk negara itu sudah menerima suntikan vaksin lengkap, China masih berpegang teguh pada strategi berkenaan dengan menutup sempadan, mengenakan tempoh kuarantin panjang bagi ketibaan antarabangsa dan pelaksanaan perintah berkurung sekiranya berlaku lonjakan kes Covid-19.
Selasa lalu, China melaksanakan perintah berkurung di bandar Lanzhou yang mempunyai lebih empat juta penduduk selepas hanya enam kes Covid-19 dilaporkan.
Buat masa ini, pendekatan diambil oleh negara republik itu dilihat akan berterusan bagi tempoh tertentu.
Beberapa pegawai kesihatan China sebelum ini mencadangkan kelonggaran separa dilaksanakan sebaik sahaja kadar vaksinasi penduduk Beijing mencecah 85 peratus.
Namun, penganalisis berpandangan kebanyakan sekatan Covid-19 yang dilaksanakan tidak mungkin ditarik balik dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku di negara-negara jiran China di rantau Asia Pasifik.
Bermula semalam (Isnin), Korea Selatan mula ‘hidup bersama’ Covid-19 dengan melonggarkan peraturan sekatan walaupun ribuan kes jangkitan baharu dilaporkan setiap minggu.
Langkah baharu itu membenarkan orang ramai berkumpul secara peribadi sehingga 10 orang di seluruh negara.
Kebanyakan premis perniagaan juga dibenarkan beroperasi semula sepenuhnya apabila perintah berkurung tamat.
Di Jepun pula, sekatan Covid-19 ditarik balik bagi restoran dan bar di sekitar Tokyo pada akhir bulan lalu.
Tindakan tersebut diambil meskipun negara matahari terbit itu melaporkan ratusan kes harian baharu di seluruh negara.
Jepun dan Korea Selatan terus mengekalkan kawalan sempadan negara yang ketat termasuk proses kuarantin bagi kebanyakan ketibaan antarabangsa.
Sebahagian besar usaha ini adalah hasil daripada kadar vaksinasi penduduk yang tinggi di seluruh Asia Pasifik.
Walaupun permulaan vaksinasi dilihat perlahan, beberapa negara termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura kini merupakan antara paling banyak divaksin di dunia mengikut per kapita.
STRATEGI BEBAS COVID-19
China tidak menunjukkan sebarang tanda untuk melonggarkan sekatan Covid-19 yang dilaksanakan di negara ini.
Ketika ini, kebanyakan sempadan China ditutup, perjalanan syarikat penerbangan dikurangkan secara drastik serta pelajar asing dan pelancong dilarang memasuki negara ini.
Rakyat China dan pelawat antarabangsa tertentu boleh memasuki negara namun dengan syarat perlu menjalani tempoh kuarantin sekurang-kurangnya dua minggu.
Malah, sebilangan kecil kes Covid-19 dikesan di bandar akan membawa kepada pelaksanaan perintah berkurung yang menyeluruh.
Punca disebalik keengganan China membuka semula sempadan negara disebabkan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing yang akan berlangsung pada Februari tahun depan.
Selepas menyaksikan keadaan huru-hara dan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020, kerajaan China tidak mahu insiden sama berulang. – AGENSI










