Ketua Dewan Ulama Perlis dilantik penyelaras DUN Guar Sanji, Ketua Muslimat, SUA MB - Utusan Malaysia

Ketua Dewan Ulama Perlis dilantik penyelaras DUN Guar Sanji, Ketua Muslimat, SUA MB

AHMAD ADNAN FADZIL dan HUSNA HASHIM.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil dilantik Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji susulan kekosongan luar jangka di kawasan itu.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, selain itu, Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Kangar, Jamil Kamis dilantik sebagai Penyelaras DUN Bintong manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad pula dilantik sebagai Penyelaras DUN Chuping.

Katanya, Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim turut dilantik sebagai Setiausaha Akhbar di pejabat Menteri Besar.

“Dengan sukacitanya, saya ingin umumkan pelantikan Husna Hashim sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Kedua, untuk Penyelaras DUN Bintong, Jamil Kamis, untuk Penyelaras DUN Chuping saya umumkan Abdul Aziz Ahmad dan ustaz Ahmad Adnan Fadzil pula Penyelaras DUN Guar Sanji,” katanya semasa semasa sesi penggulungan sidang DUN Perlis hari ini.

Sebelum ini, tiga bekas ADUN Pas iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) digugurkan keahlian selepas didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan turut mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi itu selepas ADUN terlibat terhenti keahlian Pas.

Rentetan kemelut itu, Raja Perlis, Tuanku Sirajuddin Jamalullail  telah memperkenankan pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Mohd. Shukri.

Dalam masa sama, tiga ADUN terlibat juga sebelum ini secara rasmi turut memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN Perlis bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka tiga kerusi terlibat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN