WASHINGTON: Selepas 20 bulan terkurung akibat pandemik Covid-19, Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuka semula pintu sempadan di darat dan udara mulai semalam kepada pelancong luar yang lengkap divaksinasi.
Perkembangan terkini itu sekali gus mengakhiri larangan perjalanan dari seluruh dunia yang menjejaskan pelancongan serta menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik di negara ini.
Sempadan AS ditutup selepas Mac 2020 kepada semua pelancong di dunia termasuk dari Kesatuan Eropah, Britain, China, India dan Brazil.
Pengunjung yang melalui jalan darat dari Mexico dan Kanada juga turut dikenakan larangan sama.
Larangan selama berbulan-bulan itu menjejaskan ratusan juta orang sehingga memberi kesan terhadap sosio ekonomi rakyat disebabkan pandemik Covid-19.
Larangan terbabit dilaksanakan ketika zaman pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump pada awal 2020 dan diteruskan ketika pemerintahan Joe Biden sehingga menerima kritikan meluas rakyatnya sendiri.
PENDATANG MEXICO HARAP SUAKA
Susulan pengumuman tersebut, ratusan pendatang sedia menunggu di sempadan Mexico di bandar Tijuana dengan berharap proses pemberian suaka AS dipermudahkan.
Bermula semalam, pintu sempadan darat sepanjang 3,200 kilometer antara kedua-dua negara itu akan dibuka kepada pengunjung dengan urusan tidak penting.
Mexico dan AS berjaya mengurangkan kadar jangkitan baharu dan meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk.
Kemasukan pendatang dari Mexico akan memberikan tekanan kepada Washington untuk mengetatkan pintu sempadan selepas lonjakan kemasukan golongan itu pada tahun ini dari Amerika Tengah dan Caribbean.
Seorang pendatang dari Guatemala, Andrea Morales berkata, dia akan berusaha sedaya upaya untuk merentas sempadan negara kerana tidak tahan tinggal di Mexico.
“Di sini terlalu banyak keganasan. Empat hari lalu, pihak kerajaan merampas lampu dan khemah kami seperti binatang.
“Saya berharap dapat merentas sempadan supaya dapat memberikan kehidupan lebih baik kepada anak-anak,” katanya.
Ketua Perlindungan Pendatang di Kem Movimiento Juventud, Jose Garcia berkata, ramai yang salah faham mengenai pembukaan semula pintu sempadan dengan jaminan hak suaka akan diperoleh.
“Banyak sangat salah faham. Kami sudah jelaskan pembukaan semula pintu sempadan hanya bagi individu yang mempunyai visa dan dokumen untuk menyeberang negara.
“Pintu sempadan itu tidak dibuka bagi mereka yang mencari suaka dan bantuan kemanusiaan tapi mereka tidak mahu mendengar dan terus menunggu,” jelasnya.
Menurut Garcia, bilangan pendatang di tempat perlindungan itu semakin meningkat sejak pembukaan semula pintu sempadan.
Kebanyakan pelarian di Tijuana memaklumkan mereka terpaksa lari daripada keganasan di negeri Mexico seperti di Michoacan dan Guerrero.
Mereka nekad merentas sempadan bagi mencari suaka di AS.
Tahun lalu, seramai 9,700 penduduk Mexico menjadi pelarian akibat keganasan seperti dilaporkan oleh Pusat Pemantauan Pelarian di Geneva.- AFP/REUTERS










