2.2 juta nyawa ‘melayang’ Mac 2022 - Utusan Malaysia

2.2 juta nyawa ‘melayang’ Mac 2022

WHO menggesa orang ramai mendapatkan vaksin dan suntikan dos penggalak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran lebih 700,000 orang lagi mungkin terkorban akibat jangkitan Covid-19 di Eropah menjelang Mac tahun depan.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 melebihi 2.2 juta.

Justeru, WHO menggesa orang ramai untuk segera mendapatkan vaksin dan suntikan dos penggalak.

Menurut agensi berkenaan, setakat ini, jumlah kematian kumulatif akibat Covid-19 di 53 negara di rantau WHO Eropah sudah melepasi 1.5 juta.

Jelasnya, kematian Covid-19 meningkat kepada 4,200 kes sehari iaitu dua kali ganda berbanding jumlah dilaporkan pada akhir September lalu.

Rantau WHO Eropah juga merangkumi negara Rusia dan bekas republik Soviet lain serta Turki.

“Kematian terkumpul yang dilaporkan diunjurkan mencecah lebih 2.2 juta menjelang musim bunga tahun depan,” jelas agensi itu.

Tambah WHO, Covid-19 kini menjadi punca utama kematian di seluruh Eropah.

Menurut agensi itu, Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dijangka mengalami tekanan tinggi atau melampau di 49 daripada 53 negara menjelang 1 Mac depan.

Berdasarkan data dipetik WHO Eropah, Perancis, Sepanyol dan Hungary antara negara yang dijangka mengalami tekanan melampau dalam penggunaan ICU pada awal tahun depan.

WHO memaklumkan bilangan individu belum divaksin yang tinggi dan perlindungan vaksin berkurangan merupakan antara faktor mencetuskan penularan tinggi Covid-19 di Eropah di samping penguasaan varian Delta dan pelonggaran langkah seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Pengarah WHO Eropah, Han Kluge menggesa orang ramai mendapatkan vaksin dan suntikan dos
penggalak sekiranya ditawarkan.

TIDAK DIVAKSIN MALAS

Sementara itu, suami kepada Canselor Angela Merkel mendakwa mana-mana warga Jerman yang belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai pemalas.

Joachim Sauer menyuarakan pandangan itu ketika gesaan semakin kuat untuk negara mempertimbangkan mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 dalam usaha mengekang peningkatan jangkitan secara mendadak.

Lonjakan semula kes Covid-19 di Jerman antara lain berpunca daripada kadar vaksinasi rendah yang ketika ini merekodkan 68 peratus penduduk lengkap divaksin berbanding negara lain di Eropah seperti Perancis, Itali dan Sepanyol.

“Ia amat menghairankan apabila satu pertiga daripada populasi tidak mengikut dapatan saintifik.

“Sebahagiannya disebabkan kemalasan dan rasa puas hati warga Jerman,” kata Sauer dalam satu temubual dengan akhbar Itali, La Repubblica yang dipetik akhbar Jerman, Die Welt.

Dilaporkan, Sauer merupakan seorang ahli kimia kuantum, dan berada di Itali untuk lawatan akademik.

Kenyataan Sauer dibuat sehari selepas Merkel memberi amaran bahawa Jerman tidak melakukan
tindakan yang secukupnya untuk menangani gelombang keempat pandemik.

CATALONIA KETATKAN SEKATAN

Wilayah Catalonia di Sepanyol mempertimbangkan untuk mewajibkan penduduk mengemukakan
bukti vaksinasi atau ujian calitan negatif Covid-19 semasa mengunjungi restoran, bar dan stadium.

Jurucakap kerajaan wilayah itu, Patricia Plaja berkata, pentadbiran akan mendapatkan kelulusan
kehakiman bagi kegunaan pas Covid-19 untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengelakkan tekanan berlebihan terhadap sistem kesihatan.

Penggunaan pas Covid-19 secara mandatori yang dilihat sebagai melanggar kebebasan hak asasi sivil memerlukan kebenaran mahkamah rantau.

Gelombang baharu jangkitan Covid-19 di Sepanyol masih jauh dibawah paras di Belanda dan Austria namun pihak berkuasa melihat risiko itu bakal meningkat dengan pesat di luar kawalan. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.