Perlis komited terus haramkan premis judi, pusat hiburan - MB

Perlis komited terus haramkan premis judi, pusat hiburan – MB

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri komited meneruskan dasar membasmi aktiviti perjudian dengan mengekalkan pengharaman operasi premis kedai judi dan pusat hiburan menyalahi syariat Islam.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri sudah mengambil beberapa pandangan berhubung perkara itu sebagai salah satu usaha murni dalam menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, usaha dilaksanakan itu juga adalah kesinambungan daripada inisiatif pencegahan yang sebelum ini dimulakan oleh pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sebelum ini.

“Kita terus pastikan bahawa perkara ini akan diteruskan sebab kita mengambil beberapa pandangan bahawa usaha itu adalah usaha yang baik dalam menangani isu judi di Perlis.

“Berbalik kepada keputusan (kes) di Kedah, kita akan tunggu apa yang akan diputuskan sekiranya ada saman-menyaman dan sebagainya. Tapi kita tetap komited menyambung usaha menghentikan operasi judi ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Sebelum ini, Perlis menjadi antara negeri yang mengambil pendekatan menghentikan dan menutup operasi premis perjudian secara berperingkat bermula dari Julai hingga Oktober tahun lalu.

Langkah itu susulan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi memperbaharui lesen operasi premis berkenaan.

Walaupun penutupan pusat perjudian tersebut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil, langkah tegas itu diambil demi memelihara keharmonian sosial dan menjaga kepentingan umum.

Sebagai rekod, Perlis juga menjadi sebagai negeri keempat di bawah pentadbiran Pas yang menghentikan lesen pusat perjudian selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN