TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) skala kecil melibatkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, di sini sejak 24 Mei lalu bermula hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup semalam dan operasi berjalan pada skala kecil melibatkan bomba, malim gunung, komuniti Orang Asli setempat.
“JBPM akan membantu berdasarkan penemuan terkini serta maklumat dan situasi semasa. Sehingga hari ini, masih terdapat lapan orang anggota STORM JBPM Perak bersama dua orang malim gunung yang berada di lapangan di sektor pencarian dan dijangka keluar dari sektor pencarian pada petang ini.
“Balai Bomba dan Penyelamat Tapah akan bertindak mengumpul maklumat pergerakan individu atau kumpulan yang ingin terlibat dalam misi pencarian skala kecil ini dengan mendapatkan maklumat penyertaan dan melaporkan di BBP Tapah bagi tujuan kelulusan masuk kawasan Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat dari Jabatan Perhutanan Perak kawasan pendakian Gunung Batu Putih ditutup buat sementara untuk pendakian bagi tujuan rekreasi kepada orang awam.
Media melaporkan semalam, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, seramai 116 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, JBPM, Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor terbabit sepanjang 11 hari operasi SAR sejak 24 Mei lalu.
Katanya, 95 peratus daripada keseluruhan keluasan Gunung Batu Putih telah diterokai untuk mencari Jaslinda.
Tambahnya, antara faktor dipertimbangkan dalam mengecilkan skala SAR adalah faktor keselamatan anggota penyelamat dan carian yang hampir meliputi keluasan kawasan.
Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










