KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok yang ditahan oleh pihak tentera dalam rampasan kuasa, dilaporkan dibawa pulang ke rumahnya pada lewat malam semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh pejabat Perdana Menteri, sehari selepas pihak antarabangsa memberi tekanan hebat berikutan penyingkiran Hamdok dalam rampasan kuasa tentera.
Menurut pejabat Perdana Menteri, Abdalla diletakkan `dibawah pengawasan rapi’ manakala menteri dan pemimpin awam lain masih ditahan selepas tentera membubarkan kerajaan peralihan Sudan pada Isnin lalu.
Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) menegaskan akan menggantung penyaluran bantuan berikutan rampasan kuasa dilakukan.
Malah, Kesatuan Eropah (EU) juga mengancam untuk melakukan perkara yang sama.
Sebelum ini, Abdalla yang dikenakan tahanan rumah dibawa oleh pihak tentera ke lokasi yang tidak diketahui.
Media tempatan turut melaporkan beberapa pemimpin negara turut ditahan.
Susulan itu, ribuan penduduk berhimpun di jalanan membantah rampasan kuasa tentera.
Negara Islam di timur benua Afrika itu bergolak setelah kejatuhan Presiden Omar al-Bashir yang memerintah hasil rampasan kuasa pada 1989 sebelum digulingkan tentera pada 2019. – AFP










