Pelajar, guru ditahan sorak kemenangan kriket Pakistan - Utusan Malaysia

Pelajar, guru ditahan sorak kemenangan kriket Pakistan

PENONTON bersorak semasa perlawanan kriket Ahad lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Polis di India menahan tiga pelajar dan seorang guru kerana didakwa meraikan kemenangan pasukan kriket Pakistan menewaskan negara republik itu dalam Piala Dunia T20.

Lapor Daily Mail, menurut polis, pelajar berkenaan berasal dari Kashmir ditadbir India, melaungkan slogan ‘anti-India’ dan ‘pro-Pakistan’ semasa perlawanan kriket yang berlangsung Ahad lalu.

Perlawanan itu menyaksikan Pakistan menewaskan India dengan memperoleh 10 wiket.

Inspektor polis, Pavindra Kumar Singh berkata, mereka ditahan di bandar utara Agra Rabu lalu, kerana menggalakkan permusuhan dan mengganggu keharmonian agama.

Berdasarkan laporan media tempatan, kes itu difailkan selepas kumpulan nasionalis Hindu berhaluan kanan menyerbu masuk Kolej Teknikal Kejuruteraan Raja Balwant Singh bagi menuntut penahanan tiga
pelajar terbabit.

Rabu lalu, seorang guru, Nafeesa Attari juga ditahan di Udaipur, barat India kerana memuat naik status ‘kita sudah menang’ pada aplikasi WhatsApp selepas Pakistan mengalahkan pasukan India dalam perlawanan di Dubai, Ahad lalu.

Wanita itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Attari yang dipecat daripada jawatannya, memohon maaf atas kelakuannya dalam satu video.

Dalam video tersebut, Attari berkata, dia tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana individu.

“Saya seorang warga India dan saya sayangkan negara ini. Saya sangat menyayangi India seperti orang lain. Sebaik sahaja saya sedar melakukan kesilapan, saya sudah memadamkan status itu,” katanya.

Times of India melaporkan dua lagi ditahan kerana memaparkan slogan pro-Pakistan di Uttar Pradesh, utara India.

Penahanan itu dibuat selepas polis melancarkan siasatan terhadap ratusan pelajar yang meraikan kemenangan Pakistan di Kashmir susulan perlawanan Piala Dunia T20 yang ditonton jutaan orang di seluruh Asia Selatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN