fbpx

Maut ‘terbakar’ kemalangan kereta, polis sahkan tiada unsur jenayah kematian kartunis hina Nabi Muhammad

LARS Vilks mencetuskan kemarahan global khususnya umat Islam susulan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW. – AGENSI

STOCKHOLM: Pihak polis menolak sebarang unsur jenayah mahupun penglibatan pihak lain berhubung kemalangan ngeri jalan raya melibatkan kartunis Sweden, Lars Vilks, 75.

Vilks yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila melukis gambar Nabi Muhammad SAW disahkan terbunuh dalam kemalangan ketika kereta polis dinaikinya didakwa dipandu laju lalu terbalik dan terbabas ke lorong bertentangan.

Kenderaan yang dinaiki lelaki itu kemudian bertembung de­ngan sebuah trak di wilayah Kronoberg, petang kelmarin.

Kedua-dua kenderaan itu terbakar dan pemandu trak berusia 45 tahun mengalami kecede­raan parah, lapor BBC.

Pihak polis tidak mendedahkan identiti dua anggota polis yang terbunuh, namun pasa­ngan Vilks mengesahkan kematiannya kepada akhbar Dagens Nyheter.

“Ini adalah kemalangan yang tragis. Sekarang amat penting bagi kami melakukan penyiasatan menyeluruh mengenai apa yang terjadi dan punca kemalangan itu.

“Buat masa ini, tiada sebarang petunjuk mengatakan ada individu lain terlibat,” kata jurucakap polis, Rickard Lundqvist.

Vilks mendapat perlindu­ngan polis selepas menerima ancaman bunuh berhubung karikatur ciptaannya yang disiarkan 2007.

Karikatur itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan Perdana Menteri Sweeden, Fredrik Reinfeldt mengadakan pertemuan dengan 22 duta negara Islam bagi meredakan ketegangan.

Kumpulan al-Qaeda sebelum ini pernah menawarkan ganjaran tunai AS$100,000 (RM417,000) bagi sesiapa yang berjaya membunuh Vilks.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!