Malaysia sudah mula iktiraf Taliban? - Utusan Malaysia

Malaysia sudah mula iktiraf Taliban?

PERTEMUAN Mawlawi Amir Khan Muttaqi (kanan) dan Azlan Sharif membuktikan hubungan baik Malaysia dengan Afghanistan dalam konteks saudara seagama. – IHSAN KEMENTERIAN LUAR AFGHANISTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah pertubu­han bukan kerajaan (NGO) tempatan, Global Peace Mission (GPM) dilapor mengadakan pertemuan rasmi dengan pemim­pin tinggi Afghanistan ditadbir Taliban.

Jurucakap Kementerian Luar­ Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi mengesahkan Ketua Delegasi GPM, Azlan Sharif ada bertemu pemangku menteri itu, Mawlawi Amir Khan Muttaqi di Kabul.

Turut serta dalam sesi perjumpaan julung kali di pejabat kementerian tersebut kelmarin ialah Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muhammad Hasbullah Md. Najib.

Dalam pertemuan bersejarah itu, wakil Malaysia juga menekankan kesinambungan misi bantuan kemanusiaan selain menzahirkan keyakinan atas situasi keselamatan terkini di Afghanistan.

Kerajaan negara Emiriah Islam tersebut dalam maklum ba­lasnya turut berterima kasih atas usaha sokongan Malaysia dan memberi jaminan sedia memberi kerjasama penuh antara kedua-dua negara.

Perjumpaan tersebut diadakan genap seminggu selepas Pengerusi GPM, Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman dilantik sebagai Penasihat Khas mengenai hal ehwal Afghanistan di Wisma Putra.

Perkara berkenaan diumumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada Persidangan Kuala Lumpur Mengenai Afghanistan: Kemunculan Semula secara maya pada 26 September lalu.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu juga secara kebetulan merupakan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pelantikan tersebut bagi menolong Wisma Putra sebagai pemudah cara penyaluran bantuan kemanusiaan pelbagai NGO dari Malaysia untuk rakyat Afghanistan di bawah kerajaan Taliban.

Tidak seperti Afghanistan yang ada kedutaan di Kuala Lumpur, Malaysia tiada pejabat diplomatik di Kabul dan segala urusan diakreditasi oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.

Kelmarin, GPM dan MVM tampil menyerahkan pek makanan panas kepada 1,000 individu pelarian dalaman (IDP) di ibu kota negara itu selain sejumlah 100 keluarga miskin di Sark Bostan.

Mereka juga mengagihkan pek makanan asas termasuk beras, tepung gandum dan mi­nyak masak yang boleh bertahan lama lebih daripada sebulan kepada 80 keluarga di kawasan Farman.

Dua NGO itu turut membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan ikhlas kepada warga Afghanistan dengan sasaran kutipan awal RM250,000.

Jumlah berkenaan dijangka mampu menampung lebih 6,000 IDP termasuk kelompok anak yatim, kanak-kanak kecil, wanita dan warga emas di sekitar wilayah Kabul dan Nangarhar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya