Lelaki cedera dipukul di tayangan filem terbaharu James Bond  - Utusan Malaysia

Lelaki cedera dipukul di tayangan filem terbaharu James Bond 

MANGSA cedera dipukul sebelum tayangan filem James Bond terbaharu, No Time to Die. - MEN MEDIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang lelaki di England dilaporkan menjadi mangsa serangan di sebuah pawagam ketika tayangan perdana filem siri James Bond terbaharu, No Time to Die.

Lapor The Sun, kejadian itu berlaku sebelum filem itu ditayangkan di Pawagam Odeon di Manchester pada 30 September lalu.

Ketika kejadian, mangsa yang sedang duduk di tempatnya di dalam pawagam itu dihampiri oleh seorang lelaki lain yang memintanya untuk berpindah.

Menurut mangsa yang enggan mendedahkan namanya kepada akhbar Manchester Evening, pergaduhan itu berlaku disebabkan kesilapan pawagam.

“Nampaknya, sistem tiket melakukan kesilapan semasa membuat tempahan, kakitangan pawagam cuba memindahkan penonton dan menyatakan tempat duduk saya di hadapan.

“Namun, saya mempunyai bukti tangkap layar skrin berkaitan nombor tempat duduk semasa membuat tempahan, jadi saya berada di tempat yang betul,” katanya.

Ketika mangsa enggan berpindah dengan menunjukkan bukti tiket tempat duduknya, seorang lelaki secara tiba-tiba menyerangnya.

“Lelaki itu muncul dari sebelah saya dan menyuruh saya berpindah, dia menjerit saya keluar dari tempat duduk itu.

“Saya meminta lelaki itu diam dan jangan masuk campur dan dia tiba-tiba memukul saya dari barisan tempat duduk di atas saya,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Saya dipukul beberapa kali di bahagian kepala dan tangan ketika cuba melindungi diri sebelum dia menarik dan menolak saya,” katanya.

Mangsa terpaksa menjalani rawatan selama sembilan jam sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Jelas mangsa, pihak pengurusan pawagam memulangkan semula bayaran tiket dan makanan namun dia kecewa dengan kejadian berlaku itu.

Katanya, dia juga kecewa tidak dapat menonton siri filem kegemarannya yang dinanti-nantikan selama dua tahun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN