Lelaki baling tulang babi ke balkoni masjid dikenakan perintah rawatan wajib skizofrenia - Utusan Malaysia

Lelaki baling tulang babi ke balkoni masjid dikenakan perintah rawatan wajib skizofrenia

LIM Beng Wei mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan gangguan awam pada awal tahun ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 58 tahun dikenakan perintah rawatan wajib selama tiga tahun kerana mencampak tulang babi mentah ke arah balkoni sebuah masjid.

Lim Beng Wei yang langsung tidak mengambil ubat-ubatan yang diberikan kepadanya untuk merawat skizofrenia, mengaku bersalah bulan lalu atas satu tuduhan mengganggu ketenteraman awam pada awal tahun ini.

Berita Mediacorp melaporkan, dia mengalami gangguan mental bagi tempoh lebih 20 tahun dan mengalami gangguan tersebut dua kali sebelum ini.

Hakim Daerah. Kessler Soh turut mengambil kira lagi dua tuduhan lain – satu berkaitan perbuatan membaling mentega pada tembok Singapore Music Box Museum – semasa menjatuhkan hukuman.

Perintah rawatan wajib adalah pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami masalah mental sehingga menyumbang kepada perbuatan jenayah.

Pesalah perlu menjalani rawatan dengan seorang ahli psikiatri yang dilantik mahkamah bagi tempoh sehingga tiga tahun.

Ini bukan kali pertama tertuduh dikenakan perintah rawatan sedemikian.

Pada 2019, dia dikenakan perintah rawatan wajib selama dua tahun kerana memecahkan panel kaca pada lif di kejiranannya kerana percaya ia menyimpan roh jahat.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa pada pagi 14 Januari tahun ini, tertuduh membeli sebungkus tulang babi mentah dari cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Tanjong Pagar.

Dia kemudian pergi ke Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street, yang terletak berhampiran Singapore Music Box Museum.

Apabila tiba di masjid tersebut sekitar pukul 11 pagi, dia berdiri di luar masjid dan melemparkan salah satu tulang babi mentah itu ke arah balkoni di tingkat dua masjid.

Sekitar dua jam kemudian, polis menerima panggilan daripada seorang kakitangan muzium yang mengadu seseorang membaling mentega pada tembok luar muzium berkenaan.

Apabila para pegawai polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kamera-kamera berhampiran kedua-dua bangunan itu untuk mengenal pasti identiti pelaku yang membaling mentega, mereka melihat tertuduh berjalan ke arah masjid dengan satu beg plastik putih beberapa jam sebelum itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan tertuduh melempar satu lagi tulang babi mentah di masjid yang sama dua hari sebelum insiden tersebut.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mengganggu ketenteraman awam boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya