Rampasan kuasa di Sudan bunuh demokrasi - Utusan Malaysia

Rampasan kuasa di Sudan bunuh demokrasi

PESERTA protes meletakkan bendera Sudan di bahu dan kelihatan tayar yang dibakar semasa demonstrasi di Khartoum.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Kerajaan peralihan yang ditubuhkan di Sudan sejak 2019 adalah gabungan pemerintahan Abdalla Hamdok yang dicalonkan oleh prodemokrasi dengan Ketua Majlis Tertinggi Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.

Abdalla yang merupakan seorang diplomat dilantik sebagai Perdana Menteri dan Abdel Fattah yang memimpin tentera kekal sebagai Ketua Negara sehingga 2022.

Abdalla dilihat lebih bersungguh-sungguh melancarkan kempen antikorupsi sehingga merampas aset Petronas milik Malaysia selepas mendakwa bekas Presiden, Omar al-Bashir yang digulingkan April 2019 memperoleh aset tersebut secara tidak sah.

Namun, tidak semena-mena kerajaan gabungan itu sendiri membawa lari Abdalla yang dikenakan tahanan rumah ke sebuah lokasi rahsia termasuk beberapa pemimpin lain.

Abdel Fattah selepas itu mengumumkan pengisytiharan darurat sekali gus membubarkan kerajaan peralihan tersebut dan menjanjikan proses demokrasi akan ditegakkan melalui pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU)  yang dijangka diadakan Julai, 2023.

“Apa yang dilalui oleh negara hari ini adalah ancaman sebenar yang membahayakan sekali gus memusnahkan harapan anak muda serta negara. Perbalahan antara parti politik mendorong campur tangan tentera,” kata Abdel Fattah.

PESERTA PROTES DITEMBAK

Situasi di Sudan kembali bergolak apabila seramai tujuh orang dilaporkan maut, manakala, 140 yang lain mengalami kecederaan selepas ribuan berhimpun di jalanan sebagai protes terhadap rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ibu negara, Khartoum dan bandar Omdurman dilimpahi lautan manusia yang menghalang jalan dan melaungkan sokongan terhadap pemerintahan awam.

Pihak tentera bersiap sedia melepaskan tembakan berhampiran ibu pejabat tentera di Khartoum.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘rakyat lebih kuat!’ dan ‘berundur bukan pilihan’ dengan orang ramai dilihat melintasi jambatan Sungai Nil ke ibu negara.

Aktivis prodemokrasi, Dura Gambo berkata, pasukan separa tentera mengejar peserta protes di kejiranan Khartoum.

Rakaman gambar di Hospital Khartoum yang diperoleh agensi berita The Associated Press (AP) menunjukkan beberapa individu ditahan dengan kesan luka akibat tembakan.

Gabungan pembangkang utama Sudan, The Forces of Freedom and Change menggesa protes di seluruh negara dan menuntut majlis tentera peralihan mengembalikan kuasa kepada kerajaan awam.

Perkhidmatan internet dan telefon turut terganggu sejak kelmarin.

AS GANTUNG BANTUAN KECEMASAN

Susulan itu, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Norway mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kebimbangan situasi semasa yang jelas mencabul institusi demokrasi serta menuntut pembebasan individu yang ditahan.

“Tindakan pihak tentera melambangkan pengkhianatan revolusi, proses peralihan dan hasrat rakyat Sudan yang mendahagakan keamanan, keadilan dan pembangunan ekonomi,” tulis kenyataan itu.

Presiden AS, Joe Biden turut melahirkan kegusaran mengenai pengambilalihan tentera di negara itu dan menggesa perdana menteri dan pegawai Sudan yang lain dibebaskan segera.

Disebabkan itu, pentadbiran Biden akan menggantung bantuan kecemasan ekonomi sebanyak AS$700 juta (RM2.9 bilion) yang diperuntukkan bagi membantu proses peralihan Sudan.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price memaklumkan, AS terpaksa menilai semua ‘hubungan keseluruhan’ dengan Sudan, melainkan negara itu mengembalikan semula ‘proses peralihan’ demokrasi.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar secara tertutup berhubung pergolakan di Sudan, petang semalam.

Mesyuarat yang diadakan di New York dihadiri diplomat dari AS, UK, Perancis, Ireland, Norway dan Estonia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya