SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,174 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari semalam dengan 14 lagi warga emas meninggal dunia akibat komplikasi yang dikaitkan dengan virus itu.
Berita Mediacorp melaporkan, pesakit yang meninggal dunia berusia antara 60 dan 93 tahun dan mempunyai pelbagai kondisi perubatan lain, jelas Kementerian Kesihatan (MOH) tanpa memberikan butiran lanjut.
Ini menjadikan jumlah kematian Covid-19 di Singapura kini sebanyak 329.
Jumlah kes baharu Covid-19 merosot berbanding 3,383 kes yang dilaporkan pada Ahad lalu.
Terdapat 3,165 kes jangkitan tempatan terdiri daripada 2,843 kes dalam masyarakat dan 322 di dormitori pekerja hijrahan.
Sembilan kes import turut dilaporkan, menurut MOH dalam kemas kini yang dikeluarkan kepada media.
Setakat Isnin, Singapura melaporkan sebanyak 175,818 kes Covid-19 secara keseluruhan sejak permulaan pandemik.