LOS ANGELES: Pihak berkuasa Los Angeles (LA) menjangkakan jumlah luar biasa penunjuk perasaan akan turun ke jalan pada Sabtu, ketika gelombang protes terhadap serbuan imigresen dan penempatan tentera semakin memuncak di seluruh negara.
Ketua Polis LA, Jim McDonnell dalam sidang media semalam berkata, pasukannya bersedia dan akan menumpukan usaha untuk melindungi keselamatan awam, termasuk mempertahankan hak setiap individu untuk berhimpun secara aman.
Sementara itu, pihak tentera Marin Amerika Syarikat (AS) mengambil alih kawalan keselamatan di sebuah bangunan pejabat persekutuan di LA pada Khamis, langkah yang menunjukkan penglibatan ketara pihak tentera dalam menangani protes berkaitan pengusiran pendatang tanpa izin.
Seorang lelaki dilaporkan ditahan selepas cuba merempuh pita keselamatan kuning untuk memasuki pejabat Hal Ehwal Veteran di bangunan tersebut.
Protes pada Jumaat masih dalam skala kecil tetapi dijangka memuncak pada Sabtu, yang bakal menjadi hari kemuncak gerakan aktivisme sejak gelombang protes tercetus minggu lalu selepas serbuan besar-besaran oleh ejen Imigresen dan Kastam (ICE) di LA.
Protes yang dinamakan sebagai demonstrasi ‘No Kings’ itu dirancang di semua 50 negeri dan dijadual berlangsung serentak dengan perarakan ketenteraan di Washington sempena sambutan ulang tahun ke-250 tentera darat AS serta ulang tahun kelahiran Presiden Donald Trump yang ke-79.
Dalam sidang media sama, pihak berkuasa di LA menegaskan komitmen mereka untuk menghormati hak berhimpun seperti yang dijamin di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS sambil membezakan antara penunjuk perasaan aman dan individu yang bertindak ganas.
Ini berbeza dengan kenyataan Trump yang memberi amaran bahawa sesiapa yang mengganggu perarakan ketenteraan di Washington akan ditangani secara besar-besaran.
“Saya sokong perjuangan ini. Namun, kita tidak mahu pelampau yang memusnahkan harta benda atau mencetuskan keganasan,” kata Sheriff Daerah LA, Robert G. Luna.- AGENSI










