FLORIDA: Tandas di dalam kapal angkasa, Inspiration4 milik SpaceX dilaporkan tidak berfungsi dengan baik ketika pengembaraan tiga hari kru mengelilingi Bumi, bulan lepas.
Daily Mail melaporkan, ini menyebabkan kebocoran ‘hasil buangan’ di dalam kapsul kapal angkasa tersebut.
William Gerstenmaier, Naib Presiden SpaceX yang pernah bekerja untuk NASA memberitahu New York Times, air kencing didapati terkumpul di bawah lantai kapsul Resilience.
“Kami tidak menyedarinya, kru pun tidak menyedarinya, sehingga kapsul itu kembali ke Bumi.
“Apabila kami mendapatkan semula kenderaan itu, kami melihat di bawah lantai. Terdapat pencemaran di bawah lantai Inspiration4,” katanya.
Air kencing mula bocor dari tandas apabila tiub dicabut dan berkumpul di bawah panel lantai.
SpaceX telah menyelesaikan masalah itu dengan mengimpal pada tiub pembilasan air kencing ke tandas.










