JAKARTA: Bekas anggota Jemaah Islamiah (JI), Nasir Abbas mendedahkan ulama-ulama JI sering melabelkan Taliban sebagai ‘Imam Mahdi yang tidak dapat dikalahkan’ sejak zaman Rusia hingga Amerika Syarikat (AS).
Katanya, kemenangan kumpulan Taliban di Afghanistan dijadikan sebagai usaha untuk merekrut dan meraih dana oleh JI, sedangkan kedua-dua kumpulan itu tidak mempunyai perkaitan langsung, lapor CNN Indonesia.
Anggota JI sering mengajak orang lain bergabung dan meraikan kemenangan Taliban yang didakwa sebagai perjuangan dan kemenangan umat Islam.
“Taliban selalu dijadikan sebagai inspirasi serta isu mengutip dana, sumbangan dan lain-lain. Kemenangan Taliban juga dijadikan modal untuk merekrut ahli baharu.
“Mungkin kita pernah dengar ulama-ulama JI dengan rasa bangga mengatakan Taliban berjaya mengalahkan dua negara kuasa besar, sedangkan mereka tidak mengetahui sejarah sebenar,” katanya dalam forum bertajuk ‘Berkuasanya Taliban di Afghanistan: Apa Pengaruhnya terhadap Indonesia’ secara maya.
Menurut Nasir, Imam Mahdi sendiri dianggap sebagai sosok penyelamat akhir zaman.
Jelasnya, penggunaan isu Taliban menyerupai propaganda yang menyebut militan Daesh sebagai kelompok yang tidak pernah kalah.
“Dahulu pernah juga dikatakan seperti itu, ISIS dikatakan kelompok yang tidak pernah ditewaskan, namun ternyata dikalahkan juga.
“Malah, kelompok tersebut turut mengecam individu yang tidak meraikan kemenangan Taliban sebagai orang kafir. Sedangkan Taliban hanya ingin menguasai Afghanistan dan tidak berurusan dengan organisasi lain,” jelasnya.
Oleh itu, Nasir mengingatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan JI yang menggunakan isu Taliban bagi merekrut ahli baharu.