Itali rugi abaikan sektor pelancongan halal - Utusan Malaysia

Itali rugi abaikan sektor pelancongan halal

ITALI bakal kehilangan peluang menjana keuntungan besar apabila mengabaikan aspek pelancongan halal di negara itu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Itali bakal kehilangan peluang menjana keuntungan besar apabila mengabaikan aspek pelancongan halal di negara itu.

Kajian akademik oleh Jabatan Pengurusan University of Turin mendapati Itali ‘tiada pendekatan menyeluruh’ untuk membina jaringan hospitaliti halal yang boleh menarik minat pelancong Islam.

Kajian yang diketuai oleh Paolo Biancone dan Silvana Secinaro itu dibentangkan semasa Forum Ekonomi Islam Turin, lapor Arab News.

Pakar berkata, menerusi pasaran pelancongan halal antarabangsa, kapasiti persaingan Itali dilihat ‘sangat rendah’ sekali gus menyaksikan negara itu tidak muncul dalam senarai 10 destinasi Indeks Pelancongan Muslim Global.

Pasaran pelancongan Islam pra-pandemik dianggarkan bernilai AS$220 bilion (RM880 bilion).

Angka itu dijangka meningkat dua kali ganda kesan peningkatan demografi populasi penduduk Islam serta pertambahan penduduk kelas pertengahan.

Penyelidik berkata, pelancong Islam direkodkan sebanyak 25 juta orang pada 2000 dan bilangan tersebut meningkat kepada 158 juta di seluruh dunia.

Dijangka 2026, nilai keuntungan pelancongan penduduk Islam mencecah AS$300 bilion (RM600 bilion).

“Itali sepatutnya menjadi antara destinasi pertama dikunjungi umat Islam kerana negara itu sangat kaya dengan tempat dan monumen menceritakan pertemuan antara budaya barat dan Islam selama berabad-abad,” kata Biancone.

Antara halangan yang dihadapi oleh pemilik hotel di Itali adalah penyediaan minuman beralkohol di hotel, ketiadaan naskhah al-Quran dalam bilik penginapan serta kekurangan surau bagi menarik minat kunjungan pelancong Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya