China kawal pergerakan etnik Uighur - Utusan Malaysia

China kawal pergerakan etnik Uighur

PESERTA protes menzahirkan tanda simpati kepada etnik Uighur di hadapan Pejabat Diplomat AS ke PBB.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pihak berkuasa China di Xinjiang dilaporkan menggunakan polisi ramalan dan pengawasan manusia untuk mengumpulkan ‘petunjuk mikro’ mengenai etnik Uighur serta memperkasakan pemberi maklumat di kawasan kejiranan bagi memastikan kepatuhan di setiap lapisan masyarakat.

Kajian yang dilakukan oleh badan pemikir Institut Polisi Strategik Australia (ASPI) mengenai penggunaan jawatankuasa akar umbi secara terperinci oleh pihak berkuasa Xinjiang yang digabungkan dengan teknologi pengawasan China yang luas bagi mengawal pergerakan dan emosi penduduk Uighur.

Penemuan itu memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai ruang lingkup luar biasa daripada pegangan Parti Komunis terhadap wilayah yang diduduki penduduk Islam, lapor The Guardian.

Laporan itu turut mendedahkan identiti pegawai termasuk dua bekas felo pelawat di Universiti Harvard dan organisasi yang membentuk seni bina politik mengenai tindakan keras yang dilakukan oleh Beijing terhadap etnik Uighur selama bertahun-tahun.

Sehingga kini, dilaporkan kira-kira sejuta orang ditempatkan dalam kem pendidikan semula di Xinjiang.

Laporan turut mendedahkan jawatankuasa pemberi maklumat tempatan yang mengawasi penduduk setiap hari akan menilai sama ada terdapat mana-mana individu perlu dihantar ke ‘kem pendidikan semula’.

Menurut ASPI, rekod polis yang bocor menunjukkan jawatankuasa moden turut menerima ‘petunjuk mikro’ dari sistem polisi ramalan China yang merupakan platform operasi bersama bersepadu (IJOP).

Petunjuk itu termasuk mengenal pasti individu yang menerima pengunjung yang tidak dijangka atau menerima panggilan telefon ke luar negara dan meminta kunjungan pemeriksaan yang berasaskan model interaksi jiran tetangga.

Buku laporan ASPI menunjukkan petugas jawatankuasa di kota Kashgar dinasihatkan ‘menjalinkan hubungan baik’ kepada saudara Uighur mereka dan ‘memberi gula-gula kepada kanak-kanak’ sambil memerhatikan sasaran Uighur.

“Mekanisme kawalan masyarakat Xinjiang adalah sebahagian daripada dorongan nasional untuk meningkatkan pemerintahan akar umbi yang bertujuan menggerakkan orang ramai mengatasi perbezaan pendapat dan ketidakstabilan serta meningkatkan penguasaan parti dalam masyarakat paling bawah,” jelasnya.

KAWALAN SISTEMATIK

Seorang lelaki Uighur berusia 18 tahun, Anayit Abliz dari Urumqi menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di kem pendidikan semula selepas ditangkap menggunakan aplikasi perkongsian dokumen untuk berkongsikan filem, muzik dan kandungan tapisan lain.

“Semasa remaja itu ditangkap, pihak berkuasa dari jawatankuasa kejiranan mengunjungi seramai enam ahli keluarganya setiap minggu bagi memantau sikap mereka dan memerhatikan sama ada emosi mereka stabil,” katanya.

Badan pemikir menjelaskan IJOP dikendalikan oleh Jawatankuasa Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang (PLAC).

PLAC yang digelar sebagai parti ‘pengawal pisau’ oleh Presiden China, Xi Jinping, adalah pemantau undang-undang tempatan dan pengendali laporan sistem arahan secara langsung kepada jawatankuasa pusat Parti Komunis China.

Laporan mendapati organisasi itu menjalankan pengendalian operasi dan peruntukan yang sangat meluas di Xinjiang, perkembangan yang dapat dilihat sebelum kempen politik besar-besaran.

Penulis utama laporan, Vicky Xiuzhong Xu memaklumkan beberapa taktik digunakan semasa kempen yang dirancang di tempat lain termasuk di Hong Kong.

ASPI mengumpulkan maklumat asas melibatkan lebih 440 ketua dan wakil setiausaha parti daerah yang melaksanakan tindakan keras di wilayah China sejak 2014.

Laporan ASPI dibiayai sebahagian oleh kerajaan United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat mengenai bukti tindakan keras Beijing di Xinjiang.

Kerajaan China berdepan pertuduhan oleh Human Rights Watch dan kumpulan undang-undang lain mengenai ‘jenayah kemanusiaan’, sementara beberapa kerajaan barat mendesak China mengisytiharkan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Xinjiang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya