LONDON: Bekas ketua perisik dan diplomat mendakwa isu kebocoran koronavirus dari sebuah makmal di Wuhan merupakan skandal hitam abad ini yang cuba disembunyikan oleh China, khususnya melibatkan Institut Virologi Wuhan (WIV).
Malah, mereka menegaskan isu tersebut lebih buruk berbanding skandal Watergate yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).
Skandal Watergate merujuk kepada kerja-kerja pengintipan yang dilakukan oleh segolongan orang kanan White House terhadap Watergate, markas besar Parti Demokrat menjelang pilihan raya presiden 1970-an.
Lapor The Sun, WIV dikecam hebat dengan pelbagai persoalan sama ada koronavirus bocor daripada makmalnya.
Meskipun China dan pihak pengurusan WIV menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut namun bekas pegawai atasan perisik menegaskan bukti berlakunya kemalangan makmal jelas dapat dilihat.
Mereka juga mendakwa terdapat ‘cover up’ terancang (cubaan menyorok kejadian) sejak dari hari pertama insiden tersebut.
Buku berjudul What really happened in Wuhan hasil tulisan Sharri Markson mendedahkan mengenai sejumlah petunjuk mengenai usaha Beijing yang komprehensif dalam menyembunyikan bukti berkenaan.
Bekas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memberitahu Markson: “Mereka merahsiakan sepenuhnya hanya apabila ada sesuatu yang mahu dipastikan tidak menjadi naratif fakta.
“Ini merupakan satu usaha berterusan yang komprehensif dan berpusat di Beijing untuk mengelirukan keupayaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mana-mana negara Barat atau saintis untuk mengenal pasti asal usul virus ini.
“Ini salah satu perkara yang tidak disedari oleh orang lain dan perbuatan menyembunyikannya masih berterusan,” katanya.
Beberapa bukti penting lain yang dikemukakan Markson dalam bukunya termasuk isu pangkalan data virus yang dihapuskan di WIV.
Sementara itu, bekas Ketua MI6, Richard Dearlove berkata, beberapa bukti menunjukkan koronavirus bocor daripada sebuah makmal ketika penyelidikan dijalankan di WIV.
“Sekiranya anda melihat bukti secara teliti, kemungkinan virus itu bocor daripada makmal dan ia terpulang kepada China untuk meyakinkan kita dengan menafikannya tanpa memberitahu perkara sebenar.
“Saya tidak menyatakan mereka membebaskan virus itu dengan sengaja namun ia merupakan suatu kemalangan dan terus merahsiakannya sejak hari pertama,” katanya.










