BEIJING: Seorang artis dari Shanghai dikecam hebat kerana bertindak membuang sebanyak 1,000 butir beras yang diperbuat daripada emas tulen.
Lapor Oddity Central, Yang Yexin melakukan demikian sebagai sebahagian daripada persembahan karya seni yang membangkitkan mengenai masalah pembaziran makanan.
Artis tempatan itu baru-baru ini memuat naik rakaman video yang memaparkan dirinya membuang 1,000 butir beras emas dalam tong sampah, longkang, rumput dan di Sungai Huangpu.
Yang Yexin membuang beras emas itu sebagai salah satu kaedah menarik perhatian mengenai pembaziran makanan dalam masyarakat moden.
Beras yang ditunjukkan dalam video tersebut diperbuat daripada 500 gram emas yang bernilai lebih AS$31,000 (RM129,330).
Dilaporkan, sebuah kedai barang emas menghasilkan beras emas itu dengan mengambil kira ukuran sebenar setiap butir beras asli.
Persembahan luar biasa itu berlangsung di Shanghai 13 Oktober lalu, dan rakaman video yang dimuat naik dalam media sosial menjadi tular dengan pantas.
“Malangnya, mesej yang ingin disampaikan oleh Yang Yexin sudah melangkaui kebanyakan penonton.
“Rata-rata warganet mengkritik dan menuduh artis itu cuba reka `seni palsu’ dan terlalu menunjuk-nunjuk kononnya mahu membangkitkan masalah pembaziran makanan,” jelas laporan tersebut. – AGENSI