ZAMBOANGA CITY: Pasukan keselamatan menembak mati individu yang dipercayai membiayai kumpulan Abu Sayyaf dalam pertempuran di bandar Luuk di wilayah Sulu.
The Manila Times melaporkan, jurucakap tentera memberitahu, pasukan polis bersama tentera cuba menahan Aldair Makumbong di lokasi persembunyiannya di sebuah perkampungan di Niog-Niog, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, individu itu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.
Ini memaksa pasukan keselamatan membalas tembakan itu dan suspek terbunuh.
“Pertempuran itu berlaku selama beberapa minit, yang mengakibatkan Aldasir Makumbong terbunuh,” jelas jurucakap tentera dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, senapang, peluru dan kotak berisi ganja ditemukan di lokasi berkenaan.
Aldair merupakan suspek utama dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan di Zamboanga City.
Dia didakwa sebagai pembiaya kumpulan pengganas dan terlibat dalam pengedaran dadah.










