Tujuh juta rakyat maut akibat pencemaran udara - Utusan Malaysia

Tujuh juta rakyat maut akibat pencemaran udara

KEADAAN berjerebu yang menyelubungi sekitar Jakarta, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperkukuhkan lagi garis panduan kualiti udara dengan menegaskan pencemaran udara kini merupakan salah satu ancaman alam sekitar paling besar dalam kesihatan manusia.

Menurut agensi antarabangsa itu, pencemaran udara menyum­bang kepada hampir tujuh juta kematian pramatang setahun.

Untuk itu tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara, sambil me­negaskan kesan penyakit dialami setaraf dengan merokok dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

“WHO melaraskan hampir semua tahap garis panduan kualiti udara, dengan memberi amaran bahawa melanggar ketetapan baharu itu bakal me­risikokan kesihatan.

“Dengan mematuhi tahap garis panduan baharu itu, ia mampu menyelamatkan jutaan nyawa,” jelas agensi itu.

Dilaporkan, garis panduan itu bertujuan melindungi penduduk daripada kesan buruk akibat pencemaran udara dan digunakan oleh kerajaan sebagai rujukan standard.

Garis panduan baharu itu muncul tepat pada masanya ketika Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) yang akan diadakan di Glasgow dari 31 Oktober hingga 12 November ini.

Menurut WHO, di samping perubahan iklim, pencemaran udara merupakan ancaman alam sekitar terbesar kepada kesihatan manusia.

“Dengan menambah baik tahap kualiti udara, ia secara tidak langsung meningkatkan usaha mitigasi perubahan iklim dan sebaliknya,” jelas agensi itu.

Garis panduan baharu WHO mengesyorkan tahap kualiti udara untuk enam bahan pencemar termasuk ozon, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida.

Dua lagi membabitkan partikel udara PM10 dan PM2.5.

WHO menegaskan kedua-dua partikel udara itu dapat menembusi jauh ke dalam paru-paru, namun kajian menunjukkan PM2.5 mampu memasuki aliran darah dan mengakibatkan masalah jantung dan pernafasan serta menjejaskan organ dalaman lain.

“Pencemaran udara merupakan ancaman kesihatan di semua negara namun paling sukar bagi penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya