Pelarian Ethiopia terpaksa makan daun untuk terus hidup - Utusan Malaysia

Pelarian Ethiopia terpaksa makan daun untuk terus hidup

PELARIAN yang melarikan diri dari peperangan di May Tsemri, Addi Arkya dan Zarima menunggu giliran mendapatkan bungkusan gandum dari Program Makanan Dunia di Gondar, Ethiopia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Ketika kebanyakan negara dunia sedang merekodkan pembaziran makanan yang ketara, penduduk di beberapa kawasan di wilayah Tigray, Ethiopia, hanya makan daun hijau setiap hari demi kelangsungan hidup.

Minggu lalu, seorang ibu dan bayi yang baru lahir seberat 770 gram maut akibat kelaparan di pusat kesihatan.

Malah, di setiap daerah yang menempatkan lebih 20 petugas bantuan, penduduk mula mati kebuluran seorang demi seorang.

Sejak berbulan-bulan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran mengenai ancaman kebuluran di wilayah itu.

Bukti dari dokumen dalaman dan saksi akhirnya mendedahkan kes pertama kematian akibat kebuluran sejak Kerajaan Ethiopia melaksanakan ‘halangan de facto bantuan kemanusiaan’ sejak Jun lalu.

Sekatan itu menandakan fasa baharu dalam perang selama 10 bulan antara pasukan keselamatan Tigray dengan kerajaan Ethiopia bersama sekutu.

Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah menghentikan pertempuran dan berusaha memastikan bantuan sampai dengan selamat.

Perang saudara itu bermula selepas persengketaan politik antara Perdana Menteri, Abiy Ahmed yang juga pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2019 dengan penduduk Tigray.

Kelaparan secara paksa adalah bab terakhir konflik yang melanda etnik Tigray yang dibantai, dirogol serta diusir oleh pemerintah Ethiopia.

Jun lalu, pejuang pasukan Tigray merebut kembali wilayah yang dihuni seramai enam juta orang dan pihak pemerintah terpaksa mengisytiharkan gencatan senjata atas alasan kemanusiaan.

Namun, sebaliknya berlaku apabila mereka bertindak menutup akses ke wilayah itu lebih ketat daripada sebelumnya.

Sebulan selepas tanaman penduduk dibakar dan hak penduduk dinafikan, kes kematian baharu pula muncul.

PBB menyifatkan sebagai krisis kelaparan terburuk di dunia dalam tempoh sedekad.

ANGKA KEBULURAN MENINGKAT

SEORANG wanita memangku anaknya di kem pelarian sementara di Gondar, Ethiopia.-AFP

Bekas Pengarah Hospital Rujukan Ayder, Hayelom Kebede memberitahu, dia pernah menghubungi menteri kesihatan baru-baru ini dan memaklumkan rakyat sudah terbunuh.

Kebede turut berkongsikan gambar yang ditangkap oleh The Associated Press (AP) mengenai 50 kanak-kanak yang menerima rawatan di unit penjagaan rapi kerana kurang nutrisi dan zat makanan.

Gambar lain menunjukkan seorang anak kecil memandang kamera dengan saluran tiub makanan di hidungnya dan alat pelindung di bahagian kerongkong.

Pejabat Hal Ehwal Luar Tigray mendedahkan sekurang-kurangnya 150 orang mati kelaparan Ogos lalu, termasuk di kem yang menempatkan pelarian.

Pakar keselamatan makanan beberapa bulan lalu menganggarkan seramai 400,000 penduduk di Tigray berdepan masalah kebuluran mengatasi wilayah lain di dunia.

BANTUAN TAK SAMPAI

Lebih dari 350,000 tan bantuan makanan ditempatkan di Ethiopia, namun, hampir tiada langsung yang dapat memasuki Tigray.

Pihak kerajaan sangat berhati-hati dengan bekalan yang sampai kepada pasukan Tigray sehingga pekerja bantuan kemanusiaan yang menaiki penerbangan ke rantau ini diberi senarai barangan yang dilarang bawa.

Antaranya seperti multivitamin, ubat peribadi, pembuka tin minuman dan pencungkil gigi.

Senarai yang diperoleh AP turut melarang sebarang usaha mendokumentasikan krisis seperti cakera keras dan pemacu kilat.

Dunia penduduk Tigray menjadi gelap seketika tanpa sebarang talian komunikasi, internet, perkhidmatan perbankan serta bantuan keperluan asas yang sangat terhad.

Perdana Menteri Ethiopia dan pegawai kanan kerajaan berusaha menafikan krisis kebuluran di wilayah itu.

Pemerintah sebaliknya menyalahkan pasukan keselamatan Tigray dan mendakwa berlaku kekacauan semasa penghantaran bantuan.

Aktivis kemanusiaan turut dituduh menyokong pejuang Tigray.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya