WASHINGTON: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Purdue berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness dengan menghasilkan cat paling putih.
Lapor portal UPI, cat itu dihasilkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai profesor kejuruteraan mekanikal di Universiti Purdue di Indiana, Xiulin Ruan.
Menurut Ruan, projek itu bertujuan menghasilkan cat yang mampu memantulkan cahaya daripada bangunan.
“Ia sekali gus mampu menurunkan penggunaan tenaga sebagai salah satu cara untuk menangani perubahan iklim,” katanya.
Jelas Ruan, pasukannya mendapati cat yang mengandungi bahan sulfat barium itu juga mampu memantulkan 98.1 peratus sinaran solar.
“Ia membuatkan permukaan yang dicat lebih sejuk berbanding permukaan di sekitarnya,” katanya.
Menurut Ruan, pihaknya turut mendapati proses menghasilkan cat itu reflektif mempunyai kesan sampingan ketika menjadikannya putih.
Katanya, penggunaan sulfat barium sebahagian besar mempengaruhi warna cat tersebut.
Malah, penggunaan kandungan bahan berbeza dalam cat juga menyebabkan kapasiti memantulkan spektrum cahaya lebih tinggi.
Badan antarabangsa itu mengisytiharkan cat paling putih di dunia bagi Rekod Dunia Guinness edisi 2022. – AGENSI










