‘Mohon maaf sahaja tidak cukup’ - Utusan Malaysia

‘Mohon maaf sahaja tidak cukup’

AHLI keluarga Zemerai Ahmadi memeriksa bangkai kenderaan yang musnah dalam serangan dron di Kabul pada bulan lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Ahli keluarga mangsa yang terselamat dalam insiden serangan dron di Kabul menegaskan permohonan maaf Amerika Syarikat (AS) tidak mencukupi buat mereka, malah itu tidak akan mengembalikan nyawa insan tersayang.

Sebaliknya, Aimal Ahmadi yang kehilangan anak perem­puan berusia tiga tahun, Malika, menuntut Washington menyiasat pihak yang bertanggungjawab melancarkan dron dalam sera­ngan di sini pada 29 Ogos lalu.

Malika terbunuh dalam sera­ngan tersebut ketika peluru berpandu terkena kereta milik abang Aimal.

“Saya kehilangan 10 ahli keluarga dan saya mahu keadilan dari AS dan organisasi lain. Kami adalah rakyat biasa dan tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kepada al-Jazeera.

Aimal memberitahu agensi berita The Associated Press, AS harus menghukum anggota tentera bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

“Permohonan maaf sahaja tidak mencukupi untuk kami. AS harus menyiasat individu yang melakukan serangan tersebut,” katanya.

Kelmarin, Komander tentera AS, Jeneral Kenneth McKenzie mengakui tersilap melancarkan serangan dron ke atas Kabul pada bulan lalu sehingga mengakibatkan sekeluarga 10 orang terkorban termasuk tujuh kanak-kanak.

SERAMAI 10 mangsa yang terkorban dalam serangan don tentera Amerika Syarikat di Kabul. – AGENSI

McKenzie mengesahkan mang­sa terkorban dalam serangan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan Daesh dan tampil memohon maaf kepada ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, sebelum sera­ngan itu, tentera AS mengesan sebuah kenderaan Toyota putih yang berlegar di kawasan lapa­ngan terbang di Kabul selama lapan jam yang mana anggota pe­risikan mengesyaki operasi Daesh mahu melancarkan serangan.

Pemandu kenderaan itu merupakan Zemerai Ahmadi, 37, yang bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Aimal terta­nya-tanya bagaimana rumah keluarganya boleh disalah anggap sebagai lokasi persembunyian kumpulan Daesh.

“AS yang memiliki dron canggih mampu mengesan dari mana sahaja.

“Sudah tentu mereka dapat melihat kanak-kanak yang tidak berdosa berada berhampiran dan di dalam kenderaan. Individu yang melakukan perbuatan ini harus dihukum,” katanya.

TUNTUT PAMPASAN
Wartawan al-Jazeera, Osama Javaid yang mengunjungi lokasi serangan itu berkata, barang-barang milik kanak-kanak tersebut termasuk permainan mereka dilihat bertaburan.

“Ahli keluarga mangsa memaklumkan mereka mahu menuntut pampasan dari AS.

“Mereka mahu keadilan untuk ahli keluarganya yang terkorban dan jika boleh mereka yang masih hidup ingin meninggalkan Afghanistan.

“Di sini, terdapat insiden kematian, penderitaan dan kena­ngan orang tersayang yang me­ninggal dunia serta penduduk yang berusaha membina semula kehidupan mereka dalam konflik berlaku di Afghanistan,” katanya.

CIA SUDAH BERI AMARAN
Berdasarkan satu laporan didedahkan, Agensi Perisikan AS (CIA) sudah mengeluarkan amaran kanak-kanak mungkin berada di lokasi serangan, beberapa saat sebelum peluru berpandu dilancarkan menyasarkan kenderaan tersebut.

Tiga sumber memaklumkan kepada CNN, amaran segera bahawa orang awam mungkin berada di kawasan itu dan kanak-kanak di dalam kenderaan disasarkan, hanya dibuat beberapa saat sebelum serangan dilancarkan dan ia agak terlambat.

Katanya, selang masa yang tepat antara peluru berpandu dilancarkan dan amaran orang awam berada di lokasi terbabit, masih tidak jelas.

Malah, tidak dapat dipastikan sama ada amaran tersebut sampai pada individu yang memberi ‘lampu hijau’ kepada pelancaran peluru berpandu itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN