Mohamed Kazali dihukum penjara biayai warga Malaysia sertai Daesh di Syria - Utusan Malaysia

Mohamed Kazali dihukum penjara biayai warga Malaysia sertai Daesh di Syria

MOHAMED Kazali Salleh ketika diberkas pada Disember 2018. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura dipenjara tiga tahun dan 10 bulan hari ini selepas menghulurkan wang kepada seorang lelaki Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh.

Mohamed Kazali Salleh, 51, memberikan sekitar S$1,000 kepada Wan Mohd. Aquil Wan Zainal Abidin, juga dikenali sebagai ‘Akel’ iaitu seorang anggota Daesh terkenal, menurut dokumen mahkamah.

Berita Mediacorp melaporkan, hari ini, Mohamed Kazali mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan. Satu lagi tuduhan di bawah akta yang sama dipertimbangkan ketika menjatuhi hukuman.

Ini adalah pendakwaan pertama di Singapura bagi kesalahan membiayai perjalanan individu ke negara asing untuk menjalani latihan menjadi seorang pengganas.

Semasa kesalahan itu dibuat, Mohamed Kazali ialah seorang ahli perniagaan yang beroperasi dari Johor, Malaysia. Mahkamah diberitahu, Mohamed Kazali berkawan dengan Akel di Kuala Lumpur pada 2009.

Semasa perjalanan itu, Akel memberitahu Mohamed Kazali tentang pandangan agamanya dan kedua-dua lelaki itu saling berhubungan antara satu sama lain selepas pertemuan tersebut, menurut dokumen mahkamah.

Mahkamah juga diberitahu dari 2010 hingga 2013, Mohamed Kazali bertemu Akel ‘banyak kali’ dan mereka menghadiri syarahan agama serta rapat politik di Malaysia bersama-sama.

Semasa pertemuan-pertemuan itu, Akel berkongsi dengan Mohamed Kazali ideologi pelampaunya. Ini termasuk ‘minat mendalam’ Akel untuk menjadi seorang anggota dalam ‘tentera Muslim’, menurut dokumen mahkamah.

“Tertuduh bersetuju dan menyokong ideologi pelampau Akel,” menurut dokumen mahkamah.

Pada pertengahan 2013, Akel memberitahu Mohamed Kazali dia mahu melakukan perjalanan ke Syria bagi tujuan tersebut. Akel meminta wang daripada Mohamed Kazali untuk membeli tiket penerbangan ke Turki dan dari sana dia akan menyambung perjalanan ke Syria.

Pada hujung tahun itu, Mohamed Kazali membawa Akel ke sebuah agensi pelancongan dan menyerahkan RM1,000 (sekitar S$386 ketika itu) untuk membeli tiket ke Turki.

Pada Januari 2014, Akel menghubungi Mohamed Kazali menerusi WhatsApp untuk meminta lebih banyak wang bagi perjalanannya ke Syria.

Mohamed Kazali kemudian menyuruh anak perempuannya mengirimkan AS$$351.75 (sekitar S$450 ketika itu) melalui Western Union kepada kenalan Akel di Turki. Mohamed Kazali memberitahu anak perempuannya wang itu adalah untuk membeli permaidani.

Mahkamah diberitahu Akel menyertai Daesh pada 2014. Dia menyandang jawatan kepimpinan dalam kumpulan itu tiga tahun kemudian.

“Siasatan mendedahkan dia adalah anggota Daesh warga Malaysia paling mapan di Syria dan secara aktif merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai Daesh di Syria,” menurut dokumen mahkamah.

Akel juga dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai individu bertanggungjawab ke atas plot serangan berkaitan Daesh di Malaysia pada 2019.

Plot-plot itu melibatkan arahan kepada dua penyokong Daesh warga Malaysia supaya melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat serta stesen polis di Malaysia pada awal 2019. Plot itu bagaimanapun berjaya dileburkan.

Mahkamah diberitahu Akel dibunuh dalam satu serangan udara oleh Rusia di Syria pada 2019.

Mohamed Kazali diberkas oleh Cawangan Khas Malaysia pada 19 Disember 2018 atas pelibatannya dalam kegiatan berkaitan pengganasan.

Dia dihantar pulang ke Singapura dan ditangkap oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 7 Januari 2019.

Dalam bulan yang sama, dia dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bagi kegiatannya yang menyokong Daesh.

ISD kemudian merujuk perkara itu kepada Jabatan Ehwal Komersil (CAD). Siasatan mendedahkan Mohamed Kazali menyediakan sekitar S$1,026 – dalam tempoh tiga kali – kepada seorang pengganas yang dikenali.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Edwin Soh meminta agar Mohamed Kazali dipenjara selama 46 bulan.

Beliau berkata, Mohamed Kazali melakukan kesalahan-kesalahan tersebut ‘dengan sengaja’ dan tindakannya ‘menimbulkan keresahan masyarakat’.

Mohamed Kazali ‘menyedari sepenuhnya’ bahawa wang itu akan digunakan bagi ‘tujuan jahat’, kata Edwin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN