Masa untuk Taliban buktikan kemampuan mentadbir Afghanistan - Utusan Malaysia

Masa untuk Taliban buktikan kemampuan mentadbir Afghanistan

PENDUDUK Afghanistan beratur ketika menunggu bank dibuka di Kabul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA semalam, kehidupan baharu penduduk Kabul dan seluruh Afghanistan terletak sepenuhnya pada bahu Taliban selepas tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari negara ini selepas menamatkan misi ketenteraan selama 20 tahun.

‘Hari baharu’ Afghanistan bermula tenang dengan kumpulan Taliban menyifatkan pengunduran tentera AS sebagai kejayaan paling bermakna buat mereka.

Selepas ini, semua keputusan yang bakal dibuat oleh Taliban, sama ada memberi kebaikan atau sebaliknya akan ditanggung oleh semua penduduk Afghanistan.

Media Barat sebelum ini berlumba-lumba melaporkan ‘keadaan di Afghanistan’ yang secara jelasnya digambarkan sebagai teruk, bahaya dan penuh penderitaan.

Laporan itu ditambah pula dengan sejumlah pengakuan penduduk Afghanistan yang mendakwa mereka tidak mahu ditadbir Taliban kerana menyifatkan kumpulan itu sebagai ‘tidak berhati perut, menindas dan hanya pentingkan kuasa’.

Jika dilihat, Taliban memperjuangkan tanah air sendiri dan tidak menjajah negara lain seperti yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Namun, tidak pula media Barat menggembar-gemburkan isu berkenaan dan jika ada sekali pun, umpama ‘melepas batuk di tangga’.

Persoalan adakah benar Taliban seperti yang digambar oleh media Barat atau sebaliknya bergantung kepada pentadbiran kerajaan baharu Afghanistan.

Taliban perlu menggunakan peluang yang ada untuk membuktikan perjuangan mereka selama 20 tahun ini berbaloi, sekali gus meraih kepercayaan daripada rakyat sendiri.

Jika rakyat sudah percaya, kerajaan berkembang maju, apa lagi yang mahu diperkatakan Barat?

 

Susah tapi tidak mustahil

Walaupun berdepan kesukaran, Taliban diyakini dapat membangunkan semula Afghanistan berdasarkan pelan yang dirancang sebelum ini dengan kunci utamanya melibatkan pemimpin dari semua etnik dan puak.

Langkah itu dilihat sebagai satu daripada usaha Taliban untuk meyakinkan rakyat Afghanistan bahawa kerajaan baharu yang ditadbir mereka bersikap lebih terbuka dan tidak seperti yang disangkakan sebelum ini.

Kesediaan Taliban bekerjasama dengan China juga menyaksikan kumpulan itu bersedia memulakan langkah yang lebih besar dan konklusif.

Biarpun ada pihak yang berpandangan China sebenarnya hanya ingin ‘mengambil kesempatan’ terhadap Taliban, perkara itu masih terlalu awal untuk dinilai.

 

Sokongan antarabangsa

Gesaan China meminta komuniti antarabangsa, terutamanya AS dalam menyokong Taliban dalam membangunkan semula Afghanistan boleh menjadi ‘penggerak’ kepada kumpulan itu mentadbir kerajaan mengikut norma normal.

Mungkin sudah tiba masanya dunia beri ruang dan peluang kepada Taliban untuk membuktikan kebolehan mereka dan siapa tahu jika boleh menjadi lebih baik dari kerajaan terdahulu?

Setakat ini, Pakistan dan China merupakan antara negara yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong Taliban.

 

Pengajaran untuk penceroboh

“Tahniah untuk Afghanistan…kemenangan ini adalah milik kita semua.Kejayaan ini boleh dilihat sebagai ‘pengajaran untuk penceroboh’,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada media di lapangan terbang Kabul.

Zabihullah juga menegaskan Taliban mahu menjalin hubungan yang baik dengan AS dan dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya