HYDERABAD: Seorang pemandu teksi di India menghiasi kenderaan roda tiga miliknya dengan pelbagai jenis anak pokok bagi memupuk semangat mencintai dan menghargai alam sekitar.
Lapor The New Indian Express, Kompala Babu yang berasal dari Kesineni Gunta, Tirupati berkata, ia dilakukan atas rasa cinta dan keprihatinannya terhadap alam sekitar.
Malah lelaki berusia 58 tahun itu menyimpan anak pokok dalam kenderaannya sejak 2019 bagi menggalakkan ‘kehijauan’ alam semula jadi dan memupuk kesedaran orang ramai.
Kompala yang sebelum ini menjual dan membekal produk susu, didiagnosis kanser otak pada 2011.
Dia membelanjakan kira-kira 11 lakh (RM62,510) selain ahli keluarganya terpaksa menjual rumah didiami mereka untuk menampung kos rawatan tersebut.
Sejak itu, Kompala mula memandu kenderaan roda tiga untuk menyara keluarganya.
Kompala berkata, kenderaan dipandunya itu menarik perhatian penumpang.
“Hampir sebahagian besar penumpang yang menaiki kenderaan saya berasa seperti sedang duduk di dalam kebun. Selepas melihat kenderaan ini, penumpang juga menyedari kepentingan memulihara alam sekitar.
“Saya percaya alam semula jadi sedikit sebanyak boleh melindungi kita daripada masalah kesihatan yang dialami ketika ini,” katanya.










